KDN, MOT bentang pelan tambah baik kawalan sempadan KLIA esok
PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) akan membentangkan pelan komprehensif bagi menambah baik kawalan pintu masuk sempadan negara, khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kepada Jemaah Menteri esok.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelan tersebut disediakan susulan arahan Jemaah Menteri yang dikeluarkan kira-kira dua minggu lalu bagi memperkukuhkan aspek kawalan dan keselamatan di pintu masuk utama negara.
Menurutnya, kedua-dua kementerian telah menyiapkan pelan berkenaan dengan penglibatan pelbagai agensi berkaitan di bawah KDN dan MOT.
“Semalam saya telah dimaklumkan bahawa kedua-dua kementerian berjaya menyiapkan pelan penambahbaikan itu yang akan saya bentangkan bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kepada Jemaah Menteri esok.
“Sejurus selepas pembentangan itu, saya akan berkongsi perkara tersebut dengan pihak media,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan memandang serius isu berkaitan kawalan sempadan kerana ia melibatkan reputasi negara selain aspek keselamatan yang menjadi tanggungjawab utama kerajaan.
Menurutnya, pelbagai agensi memainkan peranan penting dalam kawalan di KLIA termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Aviation Security (AVSEC), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Saifuddin berkata, antara fokus utama pelan berkenaan ialah memperkukuhkan penyelarasan antara semua agensi yang terlibat.
“Kita perlu memastikan koordinasi yang lebih baik. Pada masa ini ia memang sudah wujud, tetapi perlu dipertingkatkan lagi.
“Kita tidak boleh mengizinkan amalan bekerja secara silo kerana ia tidak baik, terutama dalam mengawal lokasi strategik yang menjadi pintu keluar masuk negara,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, kerjasama erat antara semua agensi berkaitan penting bagi memastikan kawalan sempadan negara dapat dilaksanakan secara lebih cekap dan berkesan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








