JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah arah Caprice mohon maaf, bayar RM220,000 kepada Ebit Lew

SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan, Caprice memohon maaf kepada pendakwah, Ebit Lew serta membayar ganti rugi RM220,000 berhubung tujuh kenyataan yang didakwa memfitnahnya pada 2023.

Hakim Zuhrina Mohamed Nor turut mengarahkan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 40, memadamkan tujuh kenyataan bersama pempengaruh dari Indonesia, Mondy Tattoo, dalam tempoh 48 jam.

Mahkamah juga melarang Caprice daripada mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan mengenai Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 42, pada masa akan datang.

pendakwah
Ebit Lew

Dalam keputusan sama, mahkamah menolak tuntutan balas yang dikemukakan Caprice selepas mendapati tuntutan berkenaan tidak berasas.

Ebit diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, manakala Caprice diwakili peguam Mohd Rezan Ezra Muhammad Mosinal.

Kes berkenaan berpunca daripada penerbitan sebuah rakaman video oleh Caprice pada 15 September 2023 yang menampilkan Mondy sebagai tetamu jemputan.

Ebit mendakwa kandungan video itu membawa maksud bahawa beliau melakukan gangguan seksual dan mengambil kesempatan terhadap Mondy, selain menggambarkannya sebagai individu tidak bertanggungjawab serta penunggang agama.

Menurut plaintif, Caprice menerbitkan video berkenaan secara jahat tanpa terlebih dahulu mendapatkan pengesahan fakta daripadanya atau peguamnya.

Ebit turut mendakwa penerbitan video itu menyebabkan pelbagai komen negatif, cacian dan makian dilemparkan oleh pengikut akaun YouTube Caprice terhadapnya.

Beliau juga mendakwa kenyataan berbaur fitnah yang dikeluarkan Caprice dan Mondy menyebabkan dirinya dikecam, diejek serta diaibkan.

Pada 29 September 2023, polis turut memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan gangguan seksual dan fitnah yang membabitkan Ebit, Mondy serta Caprice.

Sementara itu, Ebit menerusi hantaran di Facebook menzahirkan kesyukuran selepas keputusan mahkamah berkenaan.

“Alhamdulillah syukur pada Allah. Saya menang saman terhadap Caprice Ariz Ramli.

“Beliau diperintah mahkamah untuk mohon maaf atas fitnah dan beliau diperintahkan membayar keseluruhan RM220,000 kepada saya,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button