BERITA SEMASA

Pasang Jalur Gemilang secara terbalik: Sebuah premis di Kulai diarah tutup sementara

KULAI – Majlis Perbandaran Kulai Majlis Perbandaran Kulai (MPKU) telah bertindak menutup sementara sebuah premis di daerah itu selepas tular gambar bendera Jalur Gemilang dipasang secara terbalik.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, pihaknya memandang amat serius, kesal dan kecewa dengan kecuaian serta tindakan tidak bertanggungjawab itu.

“Premis berkenaan akan ditutup sementara sehingga pihak syarikat tampil memberikan penjelasan serta melengkapkan perakuan Aku Janji.

“Kedua-dua bendera yang dipasang secara tidak betul itu juga telah diperbetulkan dengan serta-merta.

“Pegawai Daerah Kulai melalui Pejabat Daerah Kulai turut mengambil tindakan susulan serta menyelaras perkara ini bersama MPKU dan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan sewajarnya dilaksanakan dengan segera mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jalur Gemilang
Sebuah premis di daerah Kulai diarah tutup sementara selepas tular gambar bendera Jalur Gemilang dipasang secara terbalik.

Pada masa sama katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan, manakala pengarah syarikat berkenaan akan dipanggil dengan kadar segera untuk memberikan penjelasan.

“Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau syarat yang berkuat kuasa, tindakan selanjutnya mesti diambil tanpa pilih kasih.

“Tindakan PBT ini mempunyai asas sebagaimana pendekatan yang pernah dilaksanakan sebelum ini, termasuk melalui UUK 49(2) – Kuasa Menutup Premis dan UUK 45(1) – Pengibaran Bendera di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019 yang diguna pakai oleh PBT di Negeri Johor.

“Saya mahu memberikan peringatan tegas kepada semua pemilik premis, syarikat dan pihak industri di Johor, hormatilah Jalur Gemilang dan Bendera Johor. Pastikan setiap pemasangan bendera dibuat dengan betul, tertib dan penuh rasa tanggungjawab. Alasan kecuaian tidak boleh dijadikan alasan untuk memandang ringan penghormatan terhadap simbol kedaulatan negara dan negeri,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam soal penghormatan terhadap Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor.

“Kita akan menunggu hasil siasatan bagi menentukan punca serta tanggungjawab pihak terlibat, namun pendirian kita jelas maruah negara mesti dipelihara, maruah Negeri Johor mesti dijunjung, bendera mesti dihormati dan undang-undang mesti ditegakkan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button