Kematian akibat kemalangan jalan raya disasar turun 50 peratus menjelang 2030
PUTRAJAYA – Kerajaan menyasarkan pengurangan 50 peratus kematian akibat kemalangan jalan raya, khususnya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal, menjelang 2030 susulan golongan itu menyumbang kira-kira 66 peratus daripada keseluruhan kematian tahun lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran itu diputuskan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya dengan penyelarasan dasar, sumber serta akauntabiliti antara kementerian dan agensi akan diperkukuh.
Beliau berkata, langkah berkenaan penting bagi memastikan setiap intervensi yang dilaksanakan menghasilkan pengurangan kematian dan kecederaan serius yang boleh diukur.
“Ini bermakna hampir dua daripada setiap tiga kematian di jalan raya membabitkan penunggang atau pembonceng motosikal,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, sebanyak 6,537 nyawa terkorban akibat nahas jalan raya pada tahun lalu, bersamaan kira-kira 18 kematian setiap hari.
Katanya, angka itu lebih membimbangkan apabila motosikal hanya mewakili 14 peratus jumlah kenderaan yang terbabit dalam kemalangan.
Beliau berkata, kerajaan tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan biasa, sebaliknya intervensi perlu lebih bersasar kepada kumpulan berisiko tinggi, selain menangani faktor keselamatan infrastruktur, kesihatan, pendidikan, penguatkuasaan dan perancangan bandar secara menyeluruh.
Menurutnya, kerugian sosioekonomi akibat kematian jalan raya pada tahun lalu pula dianggarkan sekitar RM30 bilion berdasarkan pendekatan Nilai Statistik Kehidupan (VOSL).
“Ini membuktikan bahawa pelaburan dalam keselamatan jalan raya bukan sekadar perbelanjaan, tetapi pelaburan untuk menyelamatkan nyawa, melindungi keluarga dan mengurangkan kerugian kepada ekonomi negara,” katanya.
Baca juga : KKR perkasa infrastruktur jalan lebih selamat, kurangkan risiko kemalangan – Nanta
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, jawatankuasa berkenaan turut bersetuju supaya Program Rangka Kerja Keselamatan Jalan Raya (SAFERO) dilaksanakan secara berfasa melalui kerjasama Kementerian Pengangkutan, Petroliam Nasional Bhd, Agensi Pengangkutan Awam Darat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).
Katanya, SAFERO akan memanfaatkan kepakaran industri dalam pemanduan defensif, pengurusan keletihan serta pemantauan tingkah laku pemandu bagi meningkatkan kompetensi dan profesionalisme pemandu kenderaan berat.
Selain itu, katanya, Ops Cegah kendalian Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan diperkukuh melalui kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), JPJ dan majikan dengan menggunakan data bagi mengenal pasti organisasi serta kawasan berisiko tinggi.
“Data PERKESO menunjukkan kadar kematian akibat kemalangan perjalanan pekerja pada tahun 2025, 2.4 kali ganda lebih tinggi berbanding kemalangan industri,” katanya.
Ops Cegah ialah program mesra majikan atau pendekatan lembut PERKESO bagi meningkatkan kesedaran majikan dan pekerja untuk mengamalkan budaya pencegahan kemalangan pekerjaan.
Ahmad Zahid berkata, isu keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan pendekatan keseluruhan masyarakat.
“Kerajaan boleh menyediakan dasar, infrastruktur, teknologi dan penguatkuasaan, tetapi budaya keselamatan hanya dapat dibentuk apabila industri, majikan dan setiap pengguna jalan raya memainkan peranan masing-masing.
“Ukuran kejayaan kita bukan berapa banyak kempen atau operasi yang dilaksanakan, tetapi berapa banyak nyawa yang dapat kita selamatkan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








