KBS meterai 12 MoU industri perkukuh TVET 2.0
TEMERLOH – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memeterai 12 Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) dengan rakan strategik industri bagi memperkukuh agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kerjasama itu akan membuka lebih banyak peluang latihan industri, pemindahan teknologi serta perkongsian kepakaran yang mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET.

Menurutnya, inisiatif tersebut selaras dengan aspirasi TVET 2.0 yang diperkenalkan kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang berimpak tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), transformasi digital dan transisi tenaga.
“TVET perlu melahirkan bakat yang bukan sahaja memenuhi keperluan industri, malah mampu menjadi pencipta inovasi dan pemacu ekonomi masa depan negara,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Innovation Development Through Educational Activities (iDEA’26) dan Jelajah TVET ILKBS Zon Timur 2026 di Dewan Tun Razak, di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, Chan Hong Jin dan Pengarah Kemahiran Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, Mohd Sukri Ismail.
Mohammed Taufiq berkata, KBS mahu budaya inovasi dalam kalangan pelajar TVET terus diperkasakan agar lebih banyak produk berpotensi tinggi dapat dikomersialkan.
“Sejak diperkenalkan, pertandingan iDEA telah menghimpunkan 2,407 projek inovasi, manakala sebanyak 532 projek dipertandingkan bagi edisi tahun ini.
“Angka ini menunjukkan perkembangan positif budaya kreativiti dan inovasi dalam kalangan pelajar TVET di seluruh negara,” katanya lagi.
Beliau turut menggesa institusi pendidikan dan latihan memberi penekanan terhadap pengurusan harta intelek bagi memastikan hasil inovasi pelajar dapat dilindungi dan mempunyai potensi untuk dipasarkan.
Menurutnya, langkah itu penting supaya inovasi yang dihasilkan tidak terhenti di peringkat prototaip semata-mata.
Selain pertandingan inovasi, Jelajah TVET ILKBS Zon Timur 2026 turut menyediakan pelbagai platform pemadanan bakat dengan industri termasuk sesi dialog, temu duga terbuka melalui Program MYFutureJobs dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta taklimat kerjaya.
Program berkenaan melibatkan penyertaan syarikat daripada sektor strategik seperti minyak dan gas, aeroangkasa, automotif, pembuatan, maritim dan pelancongan.
KBS yakin kerjasama erat antara kerajaan, institusi latihan dan industri mampu memperkukuh ekosistem TVET negara serta melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







