Anwar berlepas dari Riyadh ke Jeddah untuk tunai umrah
RIYADH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas dari Riyadh ke Jeddah bagi menunaikah umrah bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di tanah suci Makkah.
Menurut laporan Bernama, beliau diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan isteri berlepas dari Lapangan Terbang Antabarabangsa Raja Khalid pada 2 pagi waktu tempatan (7 pagi waktu Malaysia) menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.
Anwar tiba di Riyadh tengah hari semalam untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kali kelapan bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan Israel terhadap Palestin.
Pemimpin dan delegasi daripada negara anggota OIC berkumpul pada sidang kemuncak itu yang dihoskan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang juga Perdana Menteri Arab Saudi.
Petang ini, Perdana Menteri dijangka berlepas dari Jeddah ke San Francisco, Amerika Syarikat untuk menyertai Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023.