Nurul Izzah terus bersama perjuangan PKR walaupun bercuti
MELAKA – Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, beliau akan terus menyumbang kepada perjuangan parti meskipun mengambil cuti sementara daripada tugas kepimpinannya.
“Komitmen untuk memperkukuh institusi, mempertahankan maruah rakyat serta mewujudkan peluang yang lebih adil kepada masyarakat akan diteruskan menerusi pendekatan berbeza.
“PKR akan terus memikul tanggungjawab ini dan saya juga akan memikul tanggungjawab yang sama melalui jalan yang berbeza.
“Namun kita tetap berada pada landasan dan hala tuju yang sama untuk memperkukuh institusi, mempertahankan maruah, mewujudkan peluang serta membantu membina Malaysia yang lebih adil,” katanya ketika berucap pada Kongres Nasional PKR 2026 di sini hari ini.
Menurut Nurul Izzah, cadangan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim supaya khidmat sosial dijadikan sebahagian daripada agenda reformasi parti adalah langkah yang perlu diberi perhatian.
Dalam ucapan sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota PKR yang terus setia bersama parti ketika berdepan pelbagai cabaran, termasuk sewaktu Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua sahabat yang terus bersama kami pada waktu sukar dan mencabar,” katanya lagi.
Minggu lalu, Nurul Izzah mengumumkan hasrat untuk melepaskan jawatan Timbalan Presiden PKR bagi memberi tumpuan kepada pengajian lanjut.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan beliau hanya mengambil cuti sementara selepas Kongres Nasional PKR dan bukannya melepaskan jawatan secara kekal.
Dalam perkembangan sama, Nurul Izzah mempertahankan penglibatan Anwar yang semakin menonjol di pentas antarabangsa dengan menyifatkan beliau membawa suara rakyat Malaysia ke peringkat global.
Beliau turut menyelar pihak yang mempertikaikan pengaruh Perdana Menteri di arena dunia.
“Anda boleh mengkritik beliau, saya juga mengkritik beliau. Tetapi jika anda memfitnah dan tidak dapat menerima pencapaiannya hanya kerana cemburu, mungkin anda perlu mendapatkan bantuan profesional.
“Negara ini mempunyai banyak masalah yang perlu diselesaikan. Kita tidak mempunyai masa untuk mendengar rungutan mereka yang kecewa kerana tidak menjadi perdana menteri,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








