POLITIK

‘Siapa selepas Anwar?’ – Zaliha mahu PKR persiap generasi pelapis

MELAKA – PKR perlu mula memikirkan soal kesinambungan kepimpinan dengan mempersiapkan generasi pelapis bagi memastikan perjuangan parti dapat diteruskan pada masa depan.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, persoalan mengenai siapa yang akan menerajui parti dan negara selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mula dibincangkan secara matang dan terbuka.

“Siapa selepas Anwar?” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Menurutnya, PKR sebagai parti yang semakin matang tidak seharusnya takut memikirkan mengenai proses peralihan dan kesinambungan kepimpinan.

“Proses mengenal pasti serta menggilap bakat baharu perlu dilakukan secara berterusan membabitkan pemimpin dari peringkat cabang, Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK), selain golongan profesional serta aktivis masyarakat.

“Perkaderan ini tidak boleh ditangguhkan. Kita perlu melahirkan generasi pemimpin yang bersih, kompeten dan berani,” katanya lagi.

Beliau berkata, keperluan mempersiapkan pelapis menjadi lebih penting sekiranya cadangan had tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun mahu dilaksanakan.

“Kalau kita percaya bahawa kuasa Perdana Menteri sendiri mesti mempunyai had, maka kita juga mesti berfikir jauh tentang pelapis kepimpinan negara dan parti,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Zaliha berkata, keputusan Nurul Izzah Anwar mengambil cuti daripada jawatan Timbalan Presiden PKR untuk tempoh tertentu juga perlu dilihat sebagai peringatan bahawa organisasi tidak seharusnya terlalu bergantung kepada individu tertentu.

“Kekuatan sesebuah parti bergantung kepada keupayaan membina barisan kepimpinan yang mampu meneruskan perjuangan tanpa bergantung kepada seorang atau beberapa individu sahaja,” katanya lagi.

Beliau turut menggesa PKR memperkukuh sistem perkaderan dan pembangunan bakat supaya parti sentiasa mempunyai pemimpin yang bersedia memikul tanggungjawab pada masa depan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button