PENDAPATRENCANA

RENCANA | Saya orang PAS tapi saya sudah penat bila penyatuan politik bersama UMNO mula menguji prinsip

Oleh Hassan Jitra

SAYA orang PAS. Bukan baru semalam. Saya sudah lama bersama PAS. Saya melalui pelbagai zaman politik Kedah dan melihat sendiri bagaimana kerajaan negeri silih berganti. 

Dari zaman Osman Aroff, Sanusi Junid, Syed Razak, Mahdzir Khalid, Azizan Abdul Razak, Mukhriz Mahathir, Ahmad Bashah hinggalah Sanusi Md Nor.

Sepanjang masa itu, saya tetap dengan PAS. Menang atau kalah, saya tidak lari. Sebab bagi saya, PAS bukan sekadar sebuah parti yang perlu menang pilihan raya. PAS membawa prinsip. Ada nilai yang membuatkan saya memilih parti ini sejak dahulu.

Tetapi hari ini, saya perlu mengaku sesuatu. Saya penat.

Bukan penat kerana PAS kalah. Bukan juga kerana saya mahu meninggalkan PAS. Saya penat melihat bagaimana soal kerjasama dengan UMNO semakin menjadi perkara yang perlu saya fikirkan dan persoalkan.

Saya faham politik memerlukan strategi. Saya faham parti perlu melihat kemungkinan untuk menang pilihan raya. Saya juga faham penyatuan politik Melayu sering dikaitkan dengan kestabilan dan kekuatan.

Tetapi saya mahu bertanya satu soalan yang mudah. Di Kedah, kita perlukan UMNO untuk apa?

PAS sudah kuat di Kedah. Rakyat sudah memberikan kepercayaan kepada PAS. Jadi mengapa kita perlu memikul bersama segala beban politik dan sejarah UMNO?

Kalau kerjasama itu benar-benar membawa manfaat kepada rakyat, saya boleh faham. Tetapi kalau matlamat akhirnya sekadar mahu menambah kerusi dan memastikan kemenangan pilihan raya, saya rasa itu belum cukup untuk meyakinkan orang seperti saya. Saya tidak mahu parti yang saya sokong selama ini membuat keputusan hanya berdasarkan kiraan kerusi.

Kerana politik bukan sekadar matematik pilihan raya.

Tabung Haji buat saya lebih banyak berfikir. Lebih-lebih lagi sekarang apabila isu Tabung Haji kembali menjadi perhatian. Saya tidak mahu melihat isu ini melalui kaca mata siapa kawan dan siapa lawan.

Saya cuma mahu satu perkara: kebenaran.

Tabung Haji ini duit siapa? Duit orang biasa.

Duit makcik dan pakcik yang menyimpan RM10, RM20 atau RM50 sedikit demi sedikit. Mereka simpan kerana mahu pergi ke Mekah. Mereka percaya duit itu diurus dengan baik kerana ia adalah amanah.

Sebab itu, kalau ada persoalan tentang pengurusan, pelaburan, kerugian atau keputusan yang dibuat pada masa lalu, saya mahu semuanya dijelaskan.

Kalau ada orang yang bersalah, siasat dan dakwa mengikut undang-undang, Najib ka, Azeez ka, orang UMNO ka, orang PAS ka, siapa pun, saya tidak peduli.

Salah tetap salah

Saya tidak boleh terima kalau dahulu kita lantang mempersoalkan sesuatu kerana orang yang melakukannya ialah lawan politik kita, tetapi apabila orang itu menjadi rakan politik, tiba-tiba kita memilih untuk diam.

Itu yang membuatkan saya kecewa. Jangan ubah prinsip kerana kawan politik berubah.

Saya menyokong PAS kerana saya percaya PAS akan berdiri atas prinsip.

Kalau rasuah, kita lawan rasuah.
Kalau salah guna kuasa, kita lawan salah guna kuasa. Kalau ada pengkhianatan terhadap amanah rakyat, kita persoalkan.
Prinsip seperti ini tidak sepatutnya berubah hanya kerana hubungan politik berubah.

Kalau UMNO hari ini menjadi kawan, tidak bermakna segala perkara yang pernah kita persoalkan terhadap Umno mesti kita lupakan.

Begitu juga sebaliknya, saya tidak kata semua orang UMMO jahat. Saya juga tidak kata semua orang PAS betul. Saya cuma mahu ukuran yang sama digunakan kepada semua orang.

Kalau kita benar-benar bercakap tentang amanah, maka amanah mesti kekal amanah walaupun ia melibatkan kawan sendiri.

Saya marah kerana saya masih sayang PAS, saya mahu pimpinan PAS faham satu perkara, saya bukan benci PAS tetapi saya marah kerana saya masih sayang PAS.

Kalau saya sudah tidak peduli, saya tidak akan menulis semua ini.

Saya sudah terlalu lama bersama parti ini untuk melihat segala-galanya hanya melalui kaca mata “asal menang pilihan raya”.

Saya mahu PAS menang, tetapi saya juga mahu PAS menang dengan prinsip.
Saya mahu PAS kuat, tetapi bukan dengan mengorbankan perkara yang menyebabkan saya dan ramai penyokong lain memilih PAS sejak dahulu.

Sebab itu saya mahu bertanya kepada pimpinan PAS Kedah: Kita nak UMNO ini untuk apa sebenarnya?

Kalau jawapannya untuk kepentingan rakyat dan kestabilan negeri, jelaskan kepada kami. Kalau untuk strategi pilihan raya, jelaskan juga.

Tetapi jangan minta kami menerima semuanya hanya kerana dikatakan “politik memerlukan pengorbanan”.

Kerana bagi saya, ada pengorbanan yang boleh dibuat demi kemenangan. Tetapi prinsip jangan dikorbankan. Saya sudah lama dengan PAS. Saya tetap PAS.

Tetapi jangan sampai satu hari nanti orang seperti saya mula bertanya:
Yang berubah itu parti saya, atau selama ini saya yang terlalu percaya? 

PENAFIAN: Malaysia Tribune tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Malaysia Tribune.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button