Bashar al-Assad dihukum mati oleh mahkamah Syria
DAMSYIK – Mahkamah Syria menjatuhkan hukuman mati terhadap bekas Presiden Syria, Bashar al-Assad, selepas beliau didapati bersalah atas kesalahan pembunuhan terancang, penyeksaan, penahanan sewenang-wenangnya dan jenayah terhadap kemanusiaan sepanjang konflik hampir 14 tahun di negara itu.
Keputusan itu dibuat Mahkamah Jenayah Keempat di Damsyik dalam prosiding yang berlangsung hari ini, sekali gus menjadi tindakan undang-undang pertama terhadap keluarga Assad selepas pemerintahan keluarga berkenaan selama kira-kira lima dekad berakhir pada Disember 2024.
Mahkamah turut menjatuhkan hukuman mati terhadap adik Bashar, Maher al-Assad serta sepupunya yang juga bekas ketua keselamatan di Daraa, Atef Najib.
Bashar dan Maher tidak hadir dalam perbicaraan kerana kedua-duanya melarikan diri ke Rusia selepas kerajaan mereka tumbang pada Disember 2024.
Moscow kemudiannya memberikan perlindungan kepada kedua-duanya, sekali gus menyukarkan usaha pihak berkuasa Syria untuk membawa mereka pulang bagi menjalani hukuman.
Sementara itu, Atef hadir dalam prosiding dan turut dihukum mati kerana peranannya dalam tindakan keras terhadap tunjuk perasaan di Daraa pada 2011 yang tercetus selepas beberapa kanak-kanak ditahan dan diseksa kerana menconteng grafiti anti-kerajaan.
Tindakan keras terhadap demonstrasi itu kemudiannya berkembang menjadi pemberontakan bersenjata dan perang saudara yang berlarutan selama hampir 14 tahun serta mengorbankan kira-kira 500,000 nyawa.
Bashar al-Assad memegang jawatan Presiden Syria sejak 2000, menggantikan bapanya, Hafez al-Assad, yang memerintah negara itu selama hampir tiga dekad.
Pemerintahan keluarga Assad berakhir apabila kumpulan pemberontak menawan Damsyik pada Disember 2024.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








