Pertumbuhan sektor komoditi, industri berasaskan komoditi perlu beri manfaat kepada rakyat – Noraini
PUTRAJAYA – Sektor komoditi dan industri berasaskan komoditi mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM19.65 bilion pada suku pertama 2026, meningkat berbanding RM18.95 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Menteri Komoditi dan Perladangan, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, prestasi itu turut disokong nilai eksport produk berasaskan komoditi yang merekodkan RM41.62 bilion dalam tempoh berkenaan.
Menurut beliau, perkembangan tersebut memberi keyakinan terhadap prestasi sektor agrikomoditi pada awal tahun ini, namun angka berkenaan tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai pencapaian untuk diraikan.
“Saya tidak mahu kita terlalu lama meraikan angka. Kerana angka yang besar membawa tanggungjawab yang lebih besar,” kata Noraini ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan KPK, di sini hari ini.
Beliau berkata, peningkatan kadar eksport perlu disusuli usaha mewujudkan lebih banyak nilai dalam negara, manakala peningkatan produktiviti pula perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan di peringkat akar umbi.
“Apabila eksport meningkat, kita perlu bertanya bagaimana lebih banyak nilai dapat diwujudkan dalam negara. Apabila produktiviti meningkat, kita perlu memastikan pendapatan di peringkat bawah turut meningkat,” katanya.
Beliau menambah, pembukaan pasaran baharu mesti disusuli usaha memastikan lebih ramai pemain industri, usahawan dan pekebun kecil menikmati manfaat daripada peluang yang diwujudkan.
“Apabila pasaran baharu dibuka, kita perlu memastikan lebih ramai pemain industri, usahawan dan pekebun kecil mendapat manfaat daripada peluang tersebut. Itulah ukuran sebenar kejayaan kita,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






