POLITIK

PAS terus usaha satukan Melayu-Islam, terbuka runding kerjasama dengan UMNO di Melaka

KUALA LUMPUR – PAS terus berusaha ke arah penyatuan orang Melayu dan Islam termasuk meneruskan rundingan dengan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perbincangan antara kedua-dua pihak masih berjalan dan dilakukan dari semasa ke semasa.

“Kita akan berusaha ke arah perpaduan Melayu-Islam. Sebab itu kita masih dalam perundingan.
“Kita berunding dari semasa ke semasa. Kita berusaha mahu menyatukan orang Melayu dan menyelamatkan orang Melayu,” katanya di sini hari ini.

Mengulas mengenai formula kerjasama yang bakal digunakan di Melaka, beliau berkata, PAS dan Perikatan Nasional (PN) akan meneliti landskap politik semasa negeri itu sebelum membuat sebarang keputusan.

Menurutnya, keputusan pilihan raya terdahulu termasuk prestasi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen akan dijadikan antara pertimbangan dalam menentukan strategi menghadapi PRN berkenaan.

Ditanya sama ada rundingan dengan UMNO sudah bermula, Abdul Hadi mengesahkan perbincangan telah diadakan namun enggan memperincikan jumlah pertemuan yang berlangsung.

“Sudah ada rundingan. Berapa kali, saya tidak tahu kerana ia diwakili oleh pihak tertentu,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, PAS bersikap terbuka untuk menerima mana-mana ahli politik yang ingin menyertai parti itu.

“Kita terima, kita buka pintu, kemungkinan beberapa pemimpin daripada parti lain menyertai PAS,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai kedudukan bekas ahli PN yang dilaporkan mahu menubuhkan gabungan politik baharu, Abdul Hadi berkata, tindakan menyertai atau menubuhkan parti lain secara automatik menyebabkan keahlian dalam gabungan terdahulu terbatal mengikut perlembagaan parti.

“Tak perlu surat. Mengikut perlembagaan, apabila seseorang menyertai parti lain, maka terputuslah keahliannya,” katanya lagi.

Beliau turut menyatakan kepuasan terhadap persiapan jentera PAS setakat ini bagi menghadapi pilihan raya yang akan datang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button