
PAU 2026 berlangsung 9 hingga 12 September
KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 akan berlangsung selama empat hari dari 9 hingga 12 September depan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perhimpunan itu akan membuka tirai dengan sesi Taklimat Presiden pada 9 September, diikuti Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri pada sebelah malam.
Perhimpunan agung bagi ketiga-tiga pergerakan itu dijadual berlangsung selama sehari pada keesokannya.
Ia diikuti PAU 2026 yang dijadualkan berlangsung selama dua hari pada 11 dan 12 September.
Sebelum ini, PAU 2026 dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 15 Ogos.
Sementara itu, UMNO dalam satu kenyataan hari ini berkata, PAU 2026 diharap menjadi medan terbaik untuk memperkukuhkan ukhuwah dan kesatuan saf perjuangan, memperbaharui iltizam, serta mempertegas komitmen seluruh warga parti dalam mendepani cabaran semasa.
“Perhimpunan ini juga diharap menjadi platform untuk memperkukuhkan UMNO sebagai Rumah Bangsa, tempat berteduhnya perjuangan orang Melayu dan Bumiputera, serta wadah yang terus istiqamah mempertahankan agama, bangsa dan tanah air,” katanya dalam kenyataan tersbut, hari ini.
PAU kali ini dijangka menjadi tumpuan susulan perkembangan politik semasa yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dan PRN Negeri Sembilan ke-16, persefahaman dibentuk antara BN dengan Perikatan Nasional (PN), serta persediaan BN dalam menghadapi PRN Melaka dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








