BERITA SEMASA

Negeri Sembilan pertimbang wujudkan jawatan Timbalan Exco

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan sedang mempertimbangkan cadangan mewujudkan jawatan Timbalan Exco bagi beberapa portfolio sebagai usaha memperkukuh pentadbiran kerajaan negeri.

Laporan BERNAMA yang memetik Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim sebagai berkata, jawatan Exco secara keseluruhannya akan diisi dengan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti komponen termasuk Barisan Nasional (BN), PAS dan Parti Wawasan Negara (Wawasan).

“Kita mungkin tidak dapat menempatkan semua wakil rakyat dalam barisan Exco, jadi kita sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan jawatan Timbalan Exco bagi beberapa portfolio yang saya fikirkan penting,” katanya kepada pemberita di Wisma Negeri, di sini hari ini.

Cadangan itu merupakan pendekatan baharu dalam pentadbiran kerajaan negeri, namun jumlah Timbalan Exco yang akan dilantik masih belum diputuskan.

Mengenai jawatan Exco Kanan, Ismail berkata perkara itu masih belum dimuktamadkan walaupun terdapat peruntukan bagi pelantikan berkenaan.

Beliau berkata, pelantikan barisan Exco negeri dijangka diumumkan seawal Jumaat ini atau selewat-lewatnya Isnin depan.

Terdahulu, Ismail, 67, memulakan tugas pada hari pertamanya di Pejabat Menteri Besar di Wisma Negeri, di sini pukul 9 pagi tadi dengan disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim bersama ketua-ketua jabatan.

Ismail yang memenangi kerusi DUN Juasseh pada Pilihan Raya Negrti (PRN) Negeri Sembilan, Sabtu lalu, mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, kelmarin.

PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan BN menang di 18 kerusi DUN serta Perikatan Nasional (PN) tujuh kerusi, membolehkan kedua-dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button