3,747 kes jenayah seksual kanak-kanak direkod di Selangor antara 2021 hingga 2025
SHAH ALAM – Sebanyak 3,747 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak direkodkan di Selangor antara 2021 hingga 2025, dengan kes rogol mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 1,845 kes.
Menurut Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari, kes amang seksual fizikal merekodkan 1,654 kes, diikuti amang seksual bukan fizikal sebanyak 156 kes.
Sementara itu, kes memiliki bahan lucah kanak-kanak pula melibatkan 42 kes, manakala 24 kes lagi direkodkan bagi penghasilan atau pengedaran bahan lucah kanak-kanak.
“Kes amang seksual fizikal menunjukkan peningkatan sebanyak 70 peratus sejak tahun 2021 dan peningkatan secara konsisten saban tahun ini adalah perkara membimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.
Anfaal berkata, buat masa ini, kerajaan negeri telah memperluaskan program advokasi menerusi kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), sekolah agama, Persatuan Institusi Tahfiz Selangor (PITAS) dan sekolah di setiap daerah bagi memastikan lebih ramai pelajar menerima pendidikan berkaitan keselamatan diri.
“Program Advokasi Lindung Kasih memberi penekanan terhadap pendidikan mengenai sentuhan selamat serta pendedahan kepada Talian Kasih 1599 supaya kanak-kanak mengetahui saluran untuk mendapatkan bantuan atau membuat aduan kepada kaunselor dan pihak berkuasa.
“Selain itu, Wanita Berdaya Selangor turut melaksanakan Kempen Menentang Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-kanak yang perlu diteruskan sepanjang tahun bagi memastikan kesedaran masyarakat sentiasa dipertingkatkan,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 20 peratus kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak berlaku di kawasan sekolah, sekali gus menjadi perkara yang amat membimbangkan dan memerlukan tindakan segera.
“Justeru, usaha menangani jenayah seksual kanak-kanak memerlukan pendekatan menyeluruh membabitkan kerajaan, institusi pendidikan, ibu bapa, komuniti serta pempengaruh, dan tidak boleh dipikul oleh golongan pendidik semata-mata.
“Pada saya, ini adalah satu panggilan kecemasan kepada kita semua untuk memainkan peranan bersama dalam melindungi kanak-kanak,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















