BISNES & EKONOMI

KPJ lancar Pusat Kecemerlangan Ortopedik dan Reumatologi pertama di Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM – KPJ Healthcare Berhad hari ini melancarkan Pusat Kecemerlangan Ortopedik dan Reumatologi pertama di KPJ Penang Specialist Hospital, sekali gus menjadi pusat kecemerlangan ketiga di bawah KPJ Health System (KPJHS) dalam usaha memperkukuh perkhidmatan penjagaan muskuloskeletal dan sendi.

KPJ Healthcare dalam satu kenyataan hari ini berkata, pusat berasaskan teknologi serta kepakaran multidisiplin itu menghimpunkan pelbagai subkepakaran ortopedik, reumatologi dan rehabilitasi di bawah satu bumbung bagi menawarkan rawatan yang lebih terselaras, bermula daripada diagnosis, pembedahan sehingga proses pemulihan pesakit.

kpj healthcare
Syed Mohamed (duduk, tengah), bersama Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan kanan KPJ Healthcare Berhad serta Pasukan Pakar KPJ Penang Specialist Hospital pada Majlis Pelancaran Pusat Kecemerlangan Ortopedik & Reumatologi di

Antara perkhidmatan yang disediakan ialah ortopedik am, pembedahan tulang belakang, penggantian sendi, artroskopi, pembedahan sukan, pembedahan kaki dan tangan, ortopedik pediatrik, pengurusan trauma, reumatologi serta pengurusan kesakitan.

Kemudahan itu turut dilengkapi dengan teknologi robotik berasaskan kecerdasan buatan (AI), sistem navigasi komputer dan teknik pembedahan invasif minimum bagi meningkatkan ketepatan prosedur, mempercepatkan proses pemulihan serta membantu pesakit mendapatkan semula mobiliti dengan lebih berkesan.

Selain itu, pusat berkenaan turut menawarkan program rehabilitasi yang disesuaikan mengikut keperluan pesakit, termasuk bagi kes pembedahan tulang belakang, kecederaan sukan dan ortopedik pediatrik dengan sokongan teknologi seperti mesin treadmill anti-graviti.

Pengerusi Majlis Tadbir Urus KPJ Health System serta Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, aspirasi KPJ bukan sekadar menubuhkan pusat kecemerlangan, sebaliknya membangunkannya menjadi institut bertaraf dunia yang menerajui bidang klinikal, akademik dan penyelidikan.

“Aspirasi kami bukan sekadar menubuhkan Pusat Kecemerlangan, tetapi membangunkannya sehingga menjadi institut bertaraf dunia yang menjadi rujukan dalam bidang kepakaran masing-masing.

“Kami mahu setiap institut menerajui penerbitan penyelidikan berimpak tinggi, melahirkan pemimpin klinikal dan akademik di peringkat kebangsaan serta antarabangsa, selain menjadi rakan strategik pilihan kepada industri, institusi akademik dan kerajaan.

“Inisiatif ini juga selaras dengan strategi jangka panjang KPJ Healthcare untuk mewujudkan 15 Pusat Kecemerlangan di seluruh negara menjelang 2030, sekali gus memperkukuh sistem kesihatan akademik bersepadu yang mampu menyediakan rawatan bertaraf dunia kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Melalui model hab bersepadu yang diterajui oleh KPJ Penang Specialist Hospital bersama KPJ Selangor Specialist Hospital, pusat itu akan memudahkan perkongsian kepakaran, penyelidikan dan penyeragaman piawaian klinikal, selain menjadi platform mengintegrasikan teknologi AI, genomik dan penjagaan berasaskan nilai dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan.

KPJ Penang Specialist Hospital yang mempunyai kapasiti 270 katil serta lebih 50 pakar residen dalam lebih 20 bidang kepakaran turut menjadi hospital pertama di Wilayah Utara menawarkan pengurusan luka lanjutan dan sedang membangunkan program telepenjagaan luka jarak jauh pertama di Malaysia yang dipacu teknologi AI dengan kerjasama KPJ Healthcare University.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button