BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

KPJ catat hasil RM4.26 bilion, perkukuh transformasi sistem kesihatan bersepadu

KUALA LUMPUR – KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) mengumumkan perolehan hasil sebanyak RM4.26 bilion bagi tahun kewangan 2025 (TK2025), meningkat sembilan peratus berbanding RM3.90 bilion pada tahun sebelumnya.

Pencapaian itu sekali gus memperkukuh usaha transformasinya sebagai sistem kesihatan bersepadu swasta pertama di Malaysia.

Prestasi itu diumumkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-33 syarikat tersebut hari ini, yang turut mengetengahkan kemajuan pelaksanaan KPJ Health System (KPJHS) merangkumi integrasi amalan klinikal, pendidikan, penyelidikan dan inovasi.

kpj
Pengerusi KPJ, Tan Sri Dr Ismail Bakar.

Selain pertumbuhan hasil, KPJ turut merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM563 juta, meningkat enam peratus berbanding TK2024, manakala keuntungan selepas cukai bertambah 10 peratus kepada RM402 juta.

Pengerusi KPJ Healthcare, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, pencapaian tersebut mencerminkan kejayaan transformasi syarikat daripada sebuah rangkaian hospital kepada sistem kesihatan yang lebih menyeluruh dan bersepadu.

“Pendekatan ini memperkukuh keupayaan kami menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi, melahirkan bakat penjagaan kesihatan masa depan dan memacu inovasi, selain mewujudkan nilai mampan kepada pesakit, komuniti serta pemegang saham,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, KPJ akan terus memberi tumpuan kepada akses penjagaan kesihatan yang lebih meluas, di samping memastikan pertumbuhan organisasi yang mampan dan berimpak jangka panjang.

Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, kumpulan berkenaan mencapai kemajuan ketara dalam aspek kecemerlangan klinikal, pembangunan bakat serta inovasi sepanjang tahun lalu.

kpj
Tan Sri Dr Ismail (tengah) bersama Keat Chyuan (kiri) serta Ketua Pegawai Kewangan KPJ Healthcare Berhad, Mohd Khairul Izzad Mohammed Shamsudin. 

“Tumpuan kami kini adalah untuk memperluas keupayaan ini ke seluruh rangkaian melalui integrasi sistem, pembangunan Pusat Kecemerlangan serta penerapan keupayaan kesihatan baharu seperti kecerdasan buatan, genomik dan penjagaan berasaskan nilai.

“Usaha ini memastikan kami terus memberikan hasil rawatan yang lebih baik kepada pesakit sambil menjana nilai mampan untuk jangka panjang, selaras dengan aspirasi Care for Life yang menjadi teras KPJ Healthcare,” katanya.

Antara pencapaian utama KPJ sepanjang TK2025 ialah pelancaran Pusat Kecemerlangan Jantung dan Paru-Paru di Johor Specialist Hospital, selain kejayaan melaksanakan prosedur Pressurised Intraperitoneal Aerosol Chemotherapy (PIPAC) pertama oleh hospital swasta di Malaysia dan pembedahan Deep Brain Stimulation (DBS) dalam rangkaiannya.

kpj
Pelancaran Kidney Transplant Service di KPJ Tawakkal Specialist Hospital.

KPJ turut meneruskan kerjasama strategik dengan Mayo Clinic, memperluaskan program pembangunan tenaga kerja menerusi School of Digital Health dan AI Academy di KPJ Healthcare University serta memperkenalkan beberapa inisiatif inovasi digital.

Antaranya termasuk pembangunan Sistem Pengurusan Penyelidikan, kerjasama dengan University of Melbourne dalam bidang inovasi kesihatan digital dan pembangunan chatbot penglibatan pesakit berasaskan AI bersama IBM Malaysia.

Bagi tahun kewangan 2026, KPJ merancang memperkukuh lagi keupayaan klinikal melalui pelancaran Pusat Kecemerlangan Neurosains dan Strok di Damansara Specialist Hospital 2, selain kejayaan melaksanakan prosedur pemindahan buah pinggang di Tawakkal Specialist Hospital.

Kumpulan itu juga memeterai memorandum persefahaman dengan Royal College of Surgeons of England bagi mempertingkat kecemerlangan klinikal serta pembangunan bakat penjagaan kesihatan.

Dalam meneruskan momentum pertumbuhan, KPJ akan mempercepat pembangunan pusat kecemerlangan dan memperluaskan penggunaan teknologi AI, genomik serta penjagaan berasaskan nilai bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih diperibadikan dan berorientasikan hasil kepada pesakit.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button