KPJ lancar kempen galakkan kesedaran kesihatan penghadaman
KUALA LUMPUR – KPJ Healthcare Bhd hari ini melancarkan kempen “Digestive Care 4 Life” di seluruh negara yang menawarkan 500 prosedur endoskopi dan kolonoskopi percuma kepada pesakit yang dirujuk daripada fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM).
Dilancarkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, inisiatif tersebut merupakan usahasama awam-swasta yang bertujuan untuk mempercepat pengesanan awal penyakit penghadaman bagi meringankan beban hospital awam.
Selain itu, kempen tersebut turut bertujuan untuk menggalakkan kesedaran tentang kesihatan penghadaman, pencegahan dan intervensi lebih awal, terutamanya untuk penyakit kanser kolorektal.
Dalam ucapannya, Dr Dzulkefly berkata pengukuhan sistem penjagaan kesihatan Malaysia bukan hanya sekadar rawatan semata-mata tetapi turut memberi penekanan yang lebih besar terhadap pencegahan dan pembudayaan gaya hidup sihat.
“Kerajaan tidak dapat membina sistem penjagaan kesihatan yang berdaya tahan dan mampan jika kita gagal memupuk masyarakat yang sihat terlebih dahulu. Hospital dan klinik kita mesti kekal sebagai kubu pertahanan terakhir kita.
“Kita bukan sahaja mahu cemerlang dalam merawat kanser dan penyakit penghadaman, malah kita mesti lebih agresif dalam mencegahnya,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis itu, di sini hari ini.
Hadir sama, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare. Chin Keat Chyuan dan Pengarah Perubatan KPJ Healthcare, Profesor Datuk Dr Hanafiah Harunarashid.
Dzulkefly berkata peningkatan kes kanser kolorektal di Malaysia memerlukan perhatian serius kerana banyak penyakit penghadaman berkembang tanpa menunjukkan gejala awal yang menyebabkan pesakit sering terlepas peluang untuk melakukan diagnosis dan mengambil rawatan tepat pada masanya.
Pada pelancaran hari ini, KPJ Healthcare turut mengumumkan inisiatif capaian komuniti dengan kerjasama Persekutuan Orang Pekak Malaysia dan Hear Me Malaysia untuk menyediakan 100 pemeriksaan kesihatan percuma kepada komuniti cacat pendengaran.
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kumpulan tersebut untuk menggalakkan penjagaan kesihatan inklusif, menambah baik akses kepada maklumat kesihatan dan perkhidmatan saringan untuk kumpulan yang kurang mendapat perkhidmatan, dan menggalakkan pengenalpastian awal potensi masalah kesihatan dan penjagaan susulan yang sesuai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




