BERITA SEMASA

Tok Mat batal lawatan ke Jordan, utamakan komitmen diplomatik di Malaysia

REMBAU – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan beliau terpaksa membatalkan lawatan rasmi ke Amman, Jordan bagi menghadiri mesyuarat tergempar negara-negara Arab dan Islam berhubung perkembangan terkini di Palestin susulan komitmen diplomatik yang padat di Malaysia.

Mohamad berkata, beliau sepatutnya berlepas ke Jordan pada 5 Ogos bagi menghadiri mesyuarat yang membincangkan tindakan keganasan dan pencerobohan berterusan Israel, termasuk insiden terbaru di Masjid Al-Aqsa.

Bagaimanapun katanya, Malaysia akan diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar yang juga bekas Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mempunyai pengalaman luas dalam isu Palestin.

“Saya sepatutnya berada di Amman pada 5 Ogos untuk menghadiri mesyuarat tergempar negara-negara Arab dan Islam mengenai keganasan dan pencerobohan yang dilakukan Israel.

“Tetapi saya wakilkan kepada Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar yang sebelum ini merupakan Wakil Tetap Malaysia ke PBB. Beliau memang arif dan mahir mengenai isu Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di SJK (C) Chung Hua, Rantau, di sini hari ini.

Mohamad menjelaskan jadual tugasnya ketika ini amat padat berikutan Malaysia menjadi tuan rumah beberapa Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (Joint Commission) dengan negara luar.

Menurutnya, pada 4 Ogos beliau dijadual menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja sempena Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Kemboja.

Katanya, minggu berikutnya pula Malaysia akan menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri Laos yang juga Menteri Luar bagi mesyuarat sama.

“Kerja di Wisma Putra ketika keadaan geopolitik dunia tidak menentu memerlukan banyak rundingan dan mesyuarat, termasuk yang diadakan secara mengejut.

“Banyak lawatan masuk ke Malaysia dan pada masa sama banyak juga lawatan ke luar negara yang perlu diuruskan. Memang jadual sangat padat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button