JENAYAH & MAHKAMAH

Tekong seludup 41 PATI Indonesia rempuh bot Maritim Malaysia

LUMUT – Cubaan menyeludup masuk 41 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ke negara ini gagal apabila sebuah vesel nelayan asing berjaya dipintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak di perairan Teluk Senangin, berhampiran Batu Malang, awal pagi tadi.

Lebih mencemaskan apabila tekong vesel berkenaan bertindak agresif ketika cuba meloloskan diri dengan merempuh bot ronda Maritim Malaysia sebanyak empat kali sehingga mengancam keselamatan anggota penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, operasi bermula selepas pihaknya menerima maklumat awam menerusi talian kecemasan 999 pada pukul 12.40 pagi sebelum bot ronda diatur gerak ke lokasi bagi memintas vesel terbabit.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati vesel itu membawa 41 PATI warga Indonesia terdiri daripada 29 lelaki dan 12 wanita berusia antara 21 hingga 57 tahun yang dipercayai memasuki negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan.

“Semasa operasi dijalankan, tekong vesel bertindak agresif dengan cuba melarikan diri serta melakukan beberapa manuver berbahaya bagi mengelak ditahan.

“Vesel tersebut turut merempuh bot ronda Maritim Malaysia sebanyak empat kali sehingga mengancam keselamatan anggota yang sedang melaksanakan tugas penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebuah kapal ronda Maritim Malaysia turut diatur gerak sebagai aset sokongan bagi memastikan keselamatan anggota serta menghalang vesel berkenaan daripada meloloskan diri.

Sebahagian daripada 41 orang PATI yang ditahan Maritim Malaysia Perak awal pagi tadi.

Katanya, hasil tindakan pantas Maritim Malaysia, vesel tersebut berjaya ditahan sepenuhnya pada pukul 3.35 pagi.

“Tiada kecederaan dilaporkan membabitkan anggota Maritim Malaysia sepanjang operasi,” katanya.

Mohamad Shukri berkata, vesel bersama kesemua tahanan kemudian diiring ke Jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kampung Acheh sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran.

Beliau menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menceroboh perairan negara atau tindakan agresif yang mengancam keselamatan anggota penguat kuasa.

“Maritim Malaysia akan terus memperkukuh rondaan, risikan dan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras jenayah rentas sempadan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button