PMX

Anwar tegaskan perjuangan Islam, Melayu perlu dibuktikan dengan tindakan

KUALA PILAH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan usaha memperjuangkan Islam dan membela nasib orang Melayu tidak seharusnya dinilai berdasarkan retorik atau laungan semata-mata, sebaliknya melalui tindakan serta bukti nyata.

Beliau berkata, pendekatan Kerajaan MADANI dan Kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun adalah berlandaskan prinsip memperkukuh syiar Islam serta mengangkat martabat orang Melayu tanpa menjejaskan hak kaum lain.

“Memperjuangkan Islam dan membela orang Melayu tidak seharusnya diukur melalui jeritan yang paling lantang atau janji yang paling manis, tetapi melalui pelaksanaan kata-kata dan bukti yang nyata,” katanya menerusi hantaran di media sosial, malam tadi.

Terdahulu, Anwar bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menghadiri program zikir dan bermunajat di Linggi di sini malam tadi.

Dalam amanatnya, Anwar berkata, beliau memberi pencerahan berkenaan usaha Kerajaan MADANI dan Kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Aminuddin dalam menegakkan syiar Islam serta mengangkat martabat orang Melayu, tanpa merampas hak kaum lain.

Anwar berkata, prinsip itu menjadi pegangan Pakatan Harapan (PH) sepanjang diberikan mandat untuk menerajui negeri dan negara, termasuk dalam usaha memulihkan institusi Melayu yang didakwa telah terjejas akibat pengkhianatan amanah oleh pihak tertentu.

Beliau berkata, antara langkah yang dilaksanakan termasuk menambah tanah rizab Melayu di tengah-tengah ibu negara, mengembalikan peruntukan kepada sekolah agama rakyat yang dihentikan sejak 2003, meningkatkan kemahiran lepasan sekolah agama serta memperbaiki sekolah pondok di seluruh negara.

“Itulah prinsip HARAPAN sepanjang diberi mandat memimpin negeri dan negara, tatkala kita memulihkan institusi orang Melayu yang telah dirosakkan oleh mereka yang mengkhianati amanah, menambah tanah rizab Melayu di tengah-tengah ibu negara, mengembalikan peruntukan kepada sekolah agama rakyat yang dihentikan sejak 2003, meningkatkan kemahiran lepasan sekolah agama, serta memperbaiki sekolah-sekolah pondok seluruh negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata, PH akan terus meneruskan kepimpinan yang bersih dan amanah bagi mengangkat martabat Islam, memperkasa orang Melayu serta memastikan kesejahteraan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama terus terbela.

“Insya-Allah HARAPAN akan meneruskan kepimpinan yang bersih dan amanah demi mengangkat martabat Islam, memperkasa orang Melayu, serta memastikan kesejahteraan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama terus terbela serta menikmati kemakmuran secara adil,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button