Muhyiddin zahir rasa kehilangan pemergian kakak tercinta
KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan rasa dukacita atas pemergian kakaknya, Allahyarhamah Datin Rohana Yassin yang meninggal dunia semalam.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Muhyiddin berkata beliau telah menziarahi Allahyarhamah pada sebelah pagi dan menyifatkan kehilangan itu sebagai satu detik yang amat sukar buat dirinya serta seluruh ahli keluarga.
Menurut beliau, pemergian seorang kakak bukan sekadar kehilangan seorang ahli keluarga, sebaliknya kehilangan insan yang sentiasa berada di sisi dalam setiap keadaan.
“Beliaulah tempat saya berkongsi suka dan duka, menerima nasihat, mendapatkan kekuatan serta merasai kasih sayang yang tidak pernah berbelah bahagi.
“Kehilangannya meninggalkan satu kekosongan yang amat sukar untuk digambarkan dengan kata-kata,” katanya.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata beliau dan keluarga reda dengan ketentuan Allah SWT serta menerima hakikat bahawa setiap yang bernyawa pasti akan kembali kepada Penciptanya.
Beliau turut memohon orang ramai menghadiahkan bacaan Al-Fatihah dan mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah.
“Semoga Allah mengampunkan segala dosa dan kesilapannya, melapangkan kuburnya, menerangi alam barzakhnya serta menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman, beramal soleh dan dikurniakan syurga Firdaus,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mendoakan agar seluruh ahli keluarga dikurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan besar tersebut.
“Semoga Allah SWT juga mengurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran kepada seluruh ahli keluarga dalam menghadapi kehilangan yang amat besar ini. Al-Fatihah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















