POLITIK

Momentum sokongan terhadap PH semakin meningkat menjelang hari pengundian – Anthony Loke

SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) melihat momentum sokongan terhadap gabungan itu semakin meningkat menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Sabtu ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkembangan itu dapat dilihat selepas pelbagai tuduhan dan fitnah yang dimainkan pihak lawan berjaya dijawab sepanjang tempoh kempen.

Menurutnya, walaupun berdepan persaingan sengit, jentera PH berjaya menjalankan kempen dengan lancar dan memberi tumpuan kepada rekod pencapaian serta tawaran kepada rakyat.

“Saya rasa kita telah cuba yang terbaik dari segi gerak kerja. Kempen berjalan dengan lancar walaupun memang ada tekanan dan persaingan yang sengit.

“Namun begitu, saya lihat ada momentum yang meningkat untuk Pakatan Harapan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Grand Finale Kekalkan Harapan di Seremban pada malam tadi.

Anthony berkata, antara isu yang dimainkan sepanjang kempen ialah cubaan mengaitkan DAP dengan institusi istana bagi menakut-nakutkan pengundi Melayu.

Bagaimanapun katanya, kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak istana yang menegaskan pendirian berkecuali dalam politik telah menafikan dakwaan berkenaan.

“Itu memang sesuatu permainan politik yang cuba untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu.

“Bila kenyataan istana dikeluarkan dan menegaskan bahawa peranan istana berkecuali dalam politik, ia sendiri mematahkan fitnah yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu,” katanya lagi.

Menurut beliau, fokus utama PH sepanjang kempen adalah menerangkan prestasi pentadbiran dan manifesto yang ditawarkan kepada rakyat.

“Apa yang perlu kita yakinkan kepada pengundi ialah dari segi rekod prestasi kita dan bagaimana kita membawa negeri ini ke arah yang lebih baik.

“Itu menjadi fokus kita sepanjang kempen ini,” katanya lagi.

Anthony turut berharap kadar keluar mengundi dapat mencapai antara 75 hingga 80 peratus memandangkan ramai pengundi Negeri Sembilan yang bekerja di Lembah Klang dijangka pulang menunaikan tanggungjawab mereka.

“Maklum balas diterima setakat ini menunjukkan ramai pengundi luar bersedia pulang dan mengajak rakan-rakan mereka untuk turut mengundi,” katanya lagi

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button