BISNES & EKONOMI

Robo.ai tubuh usahasama bangunkan hab AI di UAE

ABU DHABI – Syarikat teknologi kecerdasan buatan (AI), Robo.ai Inc. mengumumkan penubuhan syarikat usaha sama bersama Eleven International Holdings yang berpangkalan di Abu Dhabi bagi menubuhkan Alif Holding, sebuah kumpulan teknologi perindustrian pintar yang akan beribu pejabat di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Robo.ai dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, syarikat itu akan memegang pegangan kawalan dalam Alif Holding bagi membangunkan perisian dan peralatan pintar untuk sektor kerajaan, infrastruktur dan industri di UAE, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta pasaran global.

“Alif Holding diwujudkan sebagai kumpulan perindustrian AI bersepadu yang mampu menyediakan penyelesaian menyeluruh kepada kerajaan, pengendali infrastruktur kritikal dan sektor industri yang semakin meningkatkan pelaburan mereka dalam teknologi AI pada skala nasional.

“Atas sebab itu, Alif Holding ditubuhkan di UAE untuk berkhidmat kepada pasaran global,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Robo.ai, Benjamin Zhai dalam kenyataan tersebut.

Kumpulan teknologi itu akan beroperasi menerusi dua platform utama iaitu platform peralatan pintar yang merangkumi robotik, automasi, bahan komposit termaju serta pembuatan pintar dan platform perisian pintar yang meliputi AI industri, visi komputer, ejen AI, model bahasa besar (LLM), kembar digital (digital twin) serta analitik data.

Selain itu, Alif Holding akan turut memberi tumpuan kepada projek kerajaan dan sektor awam serta industri kritikal seperti tenaga, minyak dan gas, pelabuhan, keselamatan awam, utiliti, perlombongan, pengangkutan, bandar pintar dan infrastruktur kritikal.

Kesemua sistem tersebut dibangunkan mengikut piawaian keselamatan, kebolehpercayaan dan kesinambungan operasi yang diperlukan bagi kegunaan kerajaan.

Bagi memperkukuh keupayaan pengeluaran, Alif Holding merancang membangunkan kemudahan kejuruteraan, pemasangan dan pembuatan di Abu Dhabi menerusi konsep “Made in UAE”.

Pelan pembangunan syarikat itu melibatkan pemerolehan teknologi global yang terbukti, penyepaduan teknologi ke dalam satu platform, pembuatan mengikut piawaian antarabangsa di UAE serta pengembangan ke pasaran serantau dan global.

Inisiatif itu selaras dengan Strategi Nasional Kecerdasan Buatan UAE 2031 dan aspirasi Abu Dhabi untuk muncul sebagai hab AI serta industri berteknologi tinggi.

Menurut anggaran PricewaterhouseCoopers (PwC), AI berpotensi menyumbang hampir AS$96 bilion (RM392.59 bilion) kepada ekonomi UAE menjelang 2030, bersamaan kira-kira 13.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button