AI untuk Rakyat: 100,000 belia terima manfaat langganan perisian AI percuma
CYBERJAYA – Seramai 100,000 belia bakal menerima manfaat langganan percuma perisian kecerdasan buatan (AI) terkemuka untuk tempoh tiga bulan bermula 31 Ogos ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperluas akses AI kepada golongan muda.
Langganan perisian AI itu akan diberikan kepada peserta Program AI untuk Rakyat yang mengikuti latihan celik digital dan peningkatan kemahiran secara dalam talian.
“Saya tidak mahu program ini menyebabkan jurang antara usaha memperkasakan AI dengan akses kepada teknologi itu terus melebar sehingga ramai yang berasa tersisih dan tidak mendapat pendedahan.
“Justeru, usaha komunikasi dan kempen bahawa AI adalah untuk rakyat perlu diperkasakan serta dijadikan keutamaan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran AI Malaysia, di sini hari ini.
Kementerian Digital akan bertanggungjawab menggubal modul latihan yang pada peringkat awal akan dibuka kepada individu berusia antara 18 hingga 30 tahun.
“Kita akan memberikan langganan percuma perisian AI kepada sesiapa yang mendaftar dalam program ini dan mereka akan menikmati kemudahan itu secara percuma selama tiga bulan,” katanya.
Beliau turut mengarahkan Kementerian Digital memuktamadkan modul latihan berkenaan dalam tempoh dua minggu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















