Danish Nazran tawar tiga tekad bangunkan Chembong jika diberi mandat
REMBAU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong, Danish Nazran Murad berikrar membawa pembaharuan kepada kawasan itu menerusi tiga tekad utama yang memfokuskan pembangunan ekonomi, infrastruktur dan pemerkasaan belia sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Danish, 27, berkata, sebagai calon muda, beliau menawarkan diri bukan sekadar untuk bertanding, sebaliknya mahu membawa semangat, idea dan pendekatan baharu yang lebih dekat dengan keperluan rakyat.
Beliau percaya DUN Chembong mempunyai potensi besar untuk terus berkembang dengan syarat dipimpin oleh wakil rakyat yang sentiasa turun padang, mendengar suara masyarakat dan bekerja tanpa mengira latar belakang kaum, agama atau fahaman politik.
“Saya percaya Chembong mempunyai potensi besar untuk terus maju. Apa yang diperlukan ialah kepimpinan yang sentiasa turun padang, mendengar suara rakyat dan bekerja tanpa mengira latar belakang kaum, agama atau fahaman politik,” katanya pada sidang media Pakatan Harapan, di sini hari ini.
Menurut beliau, tekad pertama yang akan diperjuangkan ialah menjadikan Chembong sebagai hab pelancongan berasaskan adat dan komuniti dengan memanfaatkan keunikan warisan Adat Perpatih serta budaya tempatan.
Katanya, usaha itu mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk, usahawan kecil dan golongan belia selain mengangkat Chembong sebagai destinasi pelancongan yang mempunyai identiti tersendiri.
“Chembong mempunyai warisan Adat Perpatih, budaya serta identiti yang cukup unik.
“Saya mahu Chembong dikenali bukan sahaja sebagai kawasan yang kaya dengan sejarah, malah menjadi destinasi yang mampu menjana pendapatan kepada rakyat,” katanya.
Bagi tekad kedua, Danish berjanji memperjuangkan pemodenan infrastruktur termasuk menaik taraf jalan raya, sistem perparitan, lampu jalan, kemudahan awam, taman rekreasi serta aspek keselamatan demi meningkatkan keselesaan penduduk.
Menurutnya, pembangunan sebenar ialah pembangunan yang dapat dirasai rakyat dalam kehidupan seharian mereka.
Beliau turut meletakkan pemerkasaan belia sebagai tekad ketiga dengan memperjuangkan penyediaan lebih banyak kemudahan sukan, rekreasi dan program pembangunan komuniti.
Selain itu, katanya, program pembangunan kemahiran, kepimpinan dan keusahawanan perlu diperluaskan bagi membantu golongan muda mencipta peluang pekerjaan dan membina masa depan yang lebih baik.
“Sebagai anak muda, saya memahami bahawa belia memerlukan ruang untuk berkembang.
“Saya mahu melihat lebih banyak program pembangunan kemahiran, kepimpinan dan keusahawanan diwujudkan agar lebih ramai anak muda mampu mencipta peluang pekerjaan dan kejayaan mereka sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Danish berjanji akan menjadi wakil rakyat yang sentiasa bersama masyarakat, mudah ditemui dan sentiasa mendengar setiap aduan serta cadangan penduduk.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga DUN Chembong atas sambutan dan sokongan yang diberikan sepanjang tempoh kempen PRN Negeri Sembilan, sambil menyeru pengundi memberikan peluang kepada kepimpinan baharu untuk membangunkan kawasan itu.
“Saya percaya Chembong memerlukan suara baharu, tenaga baharu dan kepimpinan yang sentiasa bersama rakyat. Marilah kita bersama-sama membina Chembong yang lebih maju, lebih harmoni dan lebih sejahtera untuk generasi hari ini dan masa hadapan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















