Manivanan tekad perkasa pendidikan, kemahiran digital di Jeram Padang
JEMPOL – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Manivanan Gowin komited memperkasakan pendidikan dan pembangunan modal insan menerusi pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada pelajar, belia serta komuniti setempat.

Menurut beliau, pendidikan merupakan asas kepada kemajuan masyarakat dan perlu diberikan perhatian bagi memastikan setiap anak di Jeram Padang memperoleh peluang pendidikan yang berkualiti.
“Antara inisiatif yang akan dilaksanakan ialah penyediaan kelas tuisyen percuma bagi subjek Bahasa Malaysia dan Matematik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk membantu pelajar meningkatkan prestasi akademik serta menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin.
“Pada masa sama, kelas Bahasa Malaysia untuk golongan dewasa turut diperkenalkan bagi meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan dalam urusan harian, pekerjaan dan komunikasi masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Manivanan berkata, pembangunan modal insan juga perlu bergerak seiring dengan perkembangan ekonomi digital yang semakin pesat.
“Latihan kemahiran digital melibatkan penggunaan media sosial, pemasaran digital, penciptaan kandungan, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pelbagai kemahiran digital lain akan diperluaskan kepada anak muda serta komuniti setempat,” katanya lagi.
Beliau berkata, usaha itu mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada penduduk di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Manivanan turut memberi penekanan kepada pembangunan kepimpinan generasi muda menerusi penganjuran Kem Kepimpinan Belia yang merangkumi program pembangunan sahsiah, latihan komunikasi, pengucapan awam dan kerja berpasukan.
Menurutnya, program tersebut penting bagi melahirkan generasi pemimpin yang berintegriti, berkeyakinan serta berdaya saing.
Beliau turut berjanji untuk meneruskan sokongan kepada sekolah-sekolah di Jeram Padang melalui kerjasama dengan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.
“Kerjasama ini akan membantu memperkukuh program pendidikan, pembangunan sukan, aktiviti kokurikulum serta latihan kemahiran teknikal yang memberi manfaat kepada para pelajar.
“Pendidikan bukan sekadar melahirkan pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan, tetapi membentuk masyarakat yang berilmu, berkemahiran dan mampu memacu pembangunan Jeram Padang pada masa hadapan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








