BERITA SEMASA

Lapan beradik akhirnya miliki sijil lahir selepas 19 tahun

KUALA KRAI – Penantian sepasang suami isteri selama 19 tahun untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri bagi lapan anak berakhir apabila kesemua mereka menerima sijil kelahiran daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di Kampung Johal, di sini.

Dokumen pengenalan diri itu diserahkan menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) oleh Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias kepada pasangan Zatpni Abd Wahab, 53, dan Nursyuhada Wahab, 40, semalam.

Lapan beradik itu ialah Muhammad Hamizul Zatpni, 19, Muhammad Hilkairi, 17, Muhammad Hilkar, 16, Siti Nor Rubillah, 14, Siti Nor Rossa, 13, Siti Norria Akila, 11, Muhammad Narwa Ahadi, 8, dan Muhammad Hafitdan, 6.

Nursyuhada berkata, penerimaan sijil kelahiran tersebut memberi sinar baharu kepada keluarganya, malah beliau berazam menghantar enam anaknya yang masih dalam usia persekolahan ke sekolah pada tahun depan walaupun mereka sudah jauh ketinggalan dalam pelajaran.

“Saya bersyukur kerana pihak JPN membantu menguruskan sijil lahir kesemua lapan anak kami.

“Insya-Allah, tahun depan saya akan menghantar mereka ke sekolah supaya mereka dapat belajar seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini keluarga mereka berdepan pelbagai kesukaran untuk menguruskan pendaftaran kelahiran berikutan lokasi pejabat JPN yang jauh selain kekangan pengangkutan.

Katanya, ketiadaan sijil kelahiran turut menyukarkan urusan mendapatkan rawatan di klinik bagi anak-anaknya meskipun kesemua mereka dilahirkan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

“Saya dan suami mengucapkan terima kasih kepada pihak JPN serta badan bukan kerajaan yang banyak membantu sehingga urusan ini berjaya diselesaikan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Program Mekar merupakan inisiatif JPN bagi mendekati komuniti yang berdepan kesukaran mendapatkan perkhidmatan pendaftaran, sekali gus memastikan setiap warganegara mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button