BERITA SEMASA

Ayob Khan bayang hasrat miliki restoran selepas bersara

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay tidak menolak kemungkinan membuka sebuah restoran setelah bersara nanti.

Sekiranya itu berlaku, Ayob Khan berkata, orang ramai berpeluang melihatnya dalam suasana yang berbeza.

“Nanti mungkin orang nampak saya pakai kain pelikat dan baju pagoda sambil menebar roti canai,” katanya dalam nada berseloroh.

Terdahulu, Ayob Khan mengumumkan akan bersara Ahad ini selepas hampir 35 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau yang menyifatkan tempoh berkhidmat dalam pasukan sebagai satu perjalanan panjang berkata, selepas ini beliau akan lebih menumpukan kepada masa berehat.

“Insya Allah, Ahad ini adalah hari terakhir saya dalam pasukan selepas berkhidmat hampir 35 tahun bersama polis,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran buku biografinya ‘Dari Pendang ke Bukit Aman: Jejak Integriti’ di Kuala Lumpur Golf & Country Club, di sini, hari ini.

Ayob Khan sebelum ini pernah menerajui beberapa jawatan penting dalam PDRM termasuk Ketua Polis Johor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sebelum dilantik sebagai Timbalan KPN pada Jun 2023.

Beliau mengakui turut menerima beberapa tawaran lain namun belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.

“Ada beberapa tawaran, tetapi saya belum memikirkannya lagi. Insya Allah, saya akan fokus untuk berehat dahulu.

“Selepas ini, mungkin akan ada satu lagi buku (akan) ditulis dengan lebih terperinci, merangkumi operasi yang saya pernah sertai untuk dikongsi dengan masyarakat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button