Tujuh tahun menanti, Wan Kuzain akhirnya sarung jersi Harimau Malaya
SEPANG – Selepas hampir tujuh tahun menanti, impian pemain tengah Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal untuk menyarung jersi Harimau Malaya akhirnya menjadi kenyataan apabila beliau dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan menjelang kempen Piala ASEAN 2026.
Pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu mengakui keterujaannya tidak dapat dibendung sebaik melaporkan diri bersama pasukan, malah menyifatkan peluang berkenaan sebagai detik paling bermakna dalam karier bola sepaknya.
“Ia satu penantian yang sangat lama. Saya rasa saya tidak berhenti tersenyum sejak berada di sini. Memang satu perasaan yang hebat apabila dapat mewakili negara dan saya sudah tidak sabar untuk bermula.
“Saya sedia untuk pamerkan aksi terbaik, bukan sahaja kepada peminat, tetapi kepada diri saya sendiri selepas sekian lama menunggu saat ini.
“Harapnya saya dapat melakukan debut dalam masa terdekat dan peminat boleh jangkakan sesuatu yang positif,” katanya memetik laporan RTM.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Yangon, hari ini.
Wan Kuzain yang kini beraksi bersama kelab Sporting JAX berkata, beliau percaya skuad Harimau Malaya kali ini memiliki keseimbangan baik antara pemain berpengalaman dan pemain muda, meskipun tidak dibarisi beberapa tonggak utama.
Mengulas mengenai pengalaman bola sepaknya di Amerika Syarikat, pemain berusia 27 tahun itu berkata, beliau mahu membawa bersama mentaliti pantang menyerah kalah untuk diterapkan dalam pasukan kebangsaan.
Sementara itu, persaingan merebut posisi penjaga gol utama negara turut menjadi perhatian apabila penjaga gol Negeri Sembilan FC, Azri Ghani menyifatkan perebutan tempat antara dirinya, Rahadiazli Rahalim dan Haziq Aiman Esa sebagai cabaran sihat.
Menurut Azri, perkara paling penting adalah setiap pemain memberikan aksi terbaik sekiranya diberikan peluang beraksi demi membantu pasukan mencapai kemenangan dalam aksi pembukaan menentang Myanmar.
“Sekarang pun dalam antara saya, Rahadi, dan Haziq bersaing dengan cukup baguslah. Tak tahu siapa lagi yang ambil tempat pertama. Jadi saya pun mengharapkan sesiapapun yang dapat peluang cuba buat yang terbaiklah untuk pasukan dan untuk diri kita sendirilah,” katanya.
Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Laos, Thailand dan Filipina, dengan dua pasukan teratas akan layak ke separuh akhir.
Saingan Piala ASEAN 2026 dijadual bermula esok hingga 26 Ogos ini, dengan skuad Harimau Malaya dijangka membuka kempen menentang Myanmar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















