Ahli akademik AS puji pendirian Malaysia enggan terkait dengan Israel
PUTRAJAYA – Profesor Universiti Columbia Joseph Massad memuji Malaysia kerana enggan menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel, walaupun berhadapan tekanan daripada Amerika Syarikat ke atas negara-negara majoriti Islam untuk berbuat demikian.
Bercakap pada sidang media selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Identiti Muslim dalam Dunia Globalisasi’ di sini, Massad berkata, keputusan Malaysia itu tidak seharusnya dilihat sebagai sikap memusuhi orang Yahudi, lapor FMT.
“Tindakan tidak menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara yang melakukan genosid adalah suatu kenyataan membantah genosid, bukan menentang orang Yahudi,” kata Massad, seorang profesor politik Arab moden dan sejarah intelektual.
Beliau berkata demikian susulan gesaan lapan penggubal undang-undang AS menggesa Setiausaha Negara Marco Rubio supaya mengkaji semula hubungan keselamatan dan ekonomi Washington dengan Malaysia serta mempertimbangkan penggantungan pembiayaan latihan ketenteraan AS, susulan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa warga Israel di negara ini akan diusir.
Massad yang merupakan warga Jordan menolak dakwaan bahawa kritikan terhadap Israel bersifat antisemitik dengan menegaskan bahawa Israel tidak mewakili orang Yahudi di seluruh dunia.
Massad juga berkata, AS telah mendesak negara-negara majoriti Islam dan Arab untuk menormalkan hubungan dengan Israel.
“Jadi saya ingin katakan di sini, saya puji Malaysia serta ahli politik dan kerajaannya kerana enggan tunduk kepada arahan sedemikian daripada AS,” katanya.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman serta Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Prof Emeritus Dr Azman Bakar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















