Pelajar Tingkatan Empat maut, motosikal dirempuh kereta masuk laluan bertentangan
SETIU – Seorang pelajar Tingkatan Empat maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta yang dipercayai terbabas memasuki laluan bertentangan di Jalan Kampung Mangkuk, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 8.50 malam itu, mangsa, Che Muhammad Alif Ikhwan Che Amat, 16, dari Bukit Maras, Banggol, Permaisuri disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Zahril Asri Mohd Zain berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berusia 19 tahun dan sebuah motosikal Honda AFS110 yang ditunggang mangsa.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati Proton Wira itu sedang dalam perjalanan dari Kampung Penarik menuju ke Kampung Mangkuk sebelum pemandunya dipercayai hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian.
“Akibat hilang kawalan, kereta tersebut memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal mangsa yang ketika itu dalam perjalanan dari Kampung Mangkuk menuju ke Kampung Penarik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu Proton Wira mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke hospital sama bagi tujuan bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















