Kemalangan lori isyarat kegagalan sistem keselamatan negara?
KEBELAKANGAN ini jalan raya di negara kita kerap dibasahi darah akibat kemalangan membabitkan lori yang dilaporkan hilang kawalan sehingga mengorbankan begitu banyak nyawa.
Bukan hanya mengancam nyawa, kekerapan kemalangan maut melibatkan lori yang berlegar tular di media sosial turut mencetuskan trauma untuk kita berada lama di jalan raya.
Ia bukan lagi kes terpencil kerana berulang dengan pola yang hampir sama iaitu rempuhan kerana kegagalan fungsi brek terutama di laluan menurun bukit, simpang lampu isyarat dan semalam di Plaza Tol Bukit Kajang, Selangor.
Namun cukupkah kita sekadar menyalahkan faktor teknikal semata-mata atau sudah tiba masanya mencari punca sebenar secara lebih mendalam? Hakikatnya, kecacatan mekanikal bukanlah satu-satunya jawapan kerana ia berkait rapat dengan sikap, kelayakan dan tahap disiplin seseorang pemandu itu sendiri.
Di sebalik isu kegagalan brek atau tayar pecah, mungkin terselindung banyak lagi faktor lain yang menyumbang kepada statistik kes misalnya keletihan akibat jadual kerja yang panjang tanpa rehat, tekanan mengejar trip atau budaya memandu sambil lewa.
Bahkan, ada yang berani memandu selepas mengambil dadah dan minuman keras, selain kebiasaan menggunakan telefon bimbit ketika mengendalikan kenderaan seberat berpuluh-puluh tan, seolah-olah mereka memandu kereta sedan milik keluarga.

Lebih membimbangkan juga, ada segelintir syarikat yang sanggup mengabaikan aspek pengurusan keselamatan kenderaan sehingga jentera yang digunakan kakitangan mereka dibebani lebih daripada kemampuan sebenar, sekali gus mengundang risiko kepada semua pengguna jalan raya.
Pada penulis, persoalan mengenai kelayakan seseorang pemandu adalah perkara paling utama yang perlu dikaji dan diberikan tumpuan. Tidak cukup sekadar memiliki lesen memandu kelas E atau GDL, apa yang lebih penting ialah penilaian berterusan terhadap kemampuan mereka mengendalikan kenderaan berat.
Di negara-negara maju, pemandu lori diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan berkala, termasuk ujian penglihatan, pendengaran, saringan mental (psikometrik) dan fizikal demi memastikan mereka sentiasa ‘fit’ dalam menjalankan tugas.
Latihan intensif turut diberikan, khususnya dalam mengendalikan situasi kecemasan di jalan raya. Malah, rekod disiplin pemanduan juga diambil kira.
Bagi yang kerap melakukan kesalahan, mengumpul mata demerit yang tinggi atau terlibat dalam kemalangan akan dikenakan gantung atau diharamkan terus daripada memandu lori.
Amalan standard antarabangsa itu jelas menunjukkan bahawa penguatkuasaan ketat adalah kunci kawal selia sektor pengangkutan berat yang paling utama. Di Eropah misalnya, penggunaan tachograph atau perakam digital menjadi alat wajib pasang pada lori untuk merekod kelajuan, tempoh pemanduan dan waktu rehat.
Dengan ‘kotak hitam’ itu, segala data dan maklumat yang direkod membolehkan pihak berkuasa menilai keabsahan seseorang pemandu untuk terus berada di jalan raya.
Peraturan juga wajar menetapkan seseorang pemandu tidak memandu melebihi had jam bekerja dan tidak memandu dalam keadaan letih. Di Australia dan New Zealand, pihak berkuasa meletakkan tanggungjawab yang sama rata kepada pemandu dan majikan.
Di Singapura, sesiapa yang dikesan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah bukan sahaja berdepan penggantungan lesen malah boleh diharamkan terus daripada memegang lesen kelas berat.
Bagi kes penggantungan lesen pula, ada juga negara yang mewajibkan pemandu menjalani kursus pemulihan sebelum layak memohon semula lesen.

Melihat pada kelonggaran penguatkuasaan di Malaysia, kerajaan tidak boleh terus ketinggalan dalam memperketatkan undang-undang berkaitan pemandu lori dengan menyemak semula syarat pemilikan lesen kenderaan berat.
Sudah tiba masanya untuk kerajaan tetapkan ujian kelayakan memandu, tempoh pengalaman memandu kenderaan ringan (terdahulu) dan latihan mandatori merangkumi teori dan praktikal dalam usaha melahirkan pemandu-pemandu kenderaan berat yang lebih profesional.
Begitu juga dengan keperluan pemeriksaan kesihatan, ujian psikologi dan ujian air kencing yang perlu dijadikan syarat wajib sebelum lesen dikeluarkan, diperbaharui dan diuji secara lebih kerap semasa operasi di jalan raya.
Sistem merit dan demerit juga perlu diperketat dengan penggantungan automatik terhadap mereka yang mengumpul kesalahan berulang.
Akhirnya, kemalangan maut melibatkan lori bukanlah isu teknikal semata-mata, tetapi mencerminkan kelemahan sistem pengurusan, sikap sambil lewa dan undang-undang yang longgar. Jika Malaysia benar-benar serius mahu menurunkan angka korban di jalan raya, maka Kementerian Pengangkutan perlu melakukan reformasi secara menyeluruh.
Nyawa pengguna jalan raya tidak boleh terus menjadi taruhan akibat sikap cuai segelintir pemandu lori dan majikan yang mengutamakan keuntungan berbanding keselamatan.
Jangan bagi chance! Jika memandu adalah punca rezeki mereka, mereka harus memikul tanggungjawab.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








