BERITA SEMASA

Lapan Ahli Kongres AS desak tindakan terhadap Malaysia susulan isu pengusiran warga Israel

KUALA LUMPUR – Lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) menggesa kerajaan negara itu mengambil tindakan terhadap Malaysia susulan tindakan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung arahan mengusir rakyat Israel yang didakwa memiliki dua kewarganegaraan dan menetap di negara ini.

Dalam surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, lapan Ahli Kongres daripada Parti Demokrat itu mendakwa kenyataan Anwar mempunyai unsur antisemitisme serta meminta kerajaan AS menilai semula hubungan keselamatan dan ekonomi dengan Malaysia.

Mereka terdiri daripada Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss.

Surat yang dimuat naik Landsman menerusi akaun Facebooknya itu turut mendesak Jabatan Negara AS menggunakan saluran sedia ada bagi memastikan kerajaan Malaysia bertanggungjawab terhadap tindakan berkenaan.

“Kami percaya AS perlu menjelaskan kepada Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia bahawa bantuan serta sokongan kami datang bersama jangkaan supaya mereka tidak menyasarkan rakyat daripada salah satu sekutu paling rapat kami,” menurut surat itu.

Ahli Kongres terbabit turut mencadangkan agar AS menyemak semula bantuan keselamatan kepada Malaysia termasuk program Pendidikan dan Latihan Ketenteraan Antarabangsa (IMET).

Mereka mendakwa sekiranya Malaysia tidak membatalkan dasar yang didakwa bersifat diskriminasi itu dalam tempoh 15 hari, pembiayaan di bawah program berkenaan perlu digantung.

Dalam surat sama, mereka turut mendakwa Malaysia mempunyai hubungan terbuka dengan Hamas serta menjadi lokasi latihan kepada kumpulan pejuang Palestin itu.

Sehubungan itu, mereka meminta Jabatan Negara AS menjelaskan langkah yang sedang diambil sebagai tindak balas terhadap kenyataan Anwar selain menggunakan semua instrumen yang ada bagi memberi tekanan kepada kerajaan Malaysia.

Sebelum ini, Anwar menegaskan Malaysia tidak akan berkompromi sekiranya terdapat warga Israel yang didakwa memiliki dua kewarganegaraan dan menetap di negara ini.

Perdana Menteri berkata, tindakan pengusiran akan dilakukan sekiranya dakwaan terbabit terbukti benar.

Beliau berkata demikian susulan gesaan kerajaan Johor supaya pihak berkuasa menyiasat komuniti teknologi di Forest City yang dikenali sebagai Network School berikutan dakwaan terdapat warga Israel dengan dua kerakyatan menetap di kawasan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button