Empat remaja ditahan bantu siasatan kes pukul di Cheras
KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menahan empat remaja bagi membantu siasatan kes pukul seorang remaja di sebuah residensi di Cheras, dekat sini 5 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada ibu mangsa pukul 12.45 tengah malam, 5 Julai lalu, mengenai kejadian itu.
“(Berikutan itu, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berjaya menahan empat remaja lelaki tempatan berusia 14 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik salah seorang suspek yang dipercayai digunakan untuk merakam kejadian berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. Kesemua suspek telah direman bagi membantu siasatan dan kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Terdahulu, rakaman video kejadian tersebut berdurasi satu minit 13 saat menjadi tular di media sosial.
Rakaman itu dipercayai dimuat naik oleh ibu mangsa yang mendakwa anaknya dipukul oleh empat individu.
Akibat kejadian berkenaan, mangsa dipercayai mengalami keretakan tengkorak serta pendarahan di dalam kepala dan telinga kanan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







