JENAYAH & MAHKAMAH

Tampar remaja di premis LRT: Lelaki tempatan ditahan polis

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan ditahan polis semalam susulan kes menampar seorang remaja lelaki di sebuah premis Rotiboy di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asistan Komisioner Sazalee Adam berkata, suspek berusia 48 tahun itu ditahan pada pukul 3.40 petang di tepi Jalan Masjid India.

Menurut Sazalee, suspek mengaku menampar mangsa sehingga terjatuh ke lantai kerana berang dengan tindakan remaja itu yang didakwa mengorek hidung ketika berada berhampirannya.

Suspek ditahan pihak berkuasa di tepi Jalan Masjid India semalam. – Foto PDRM

“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan semalam.

Tambah beliau, suspek yang tidak bekerja itu mempunyai satu rekod lampau berkaitan narkotik, namun ujian air kencing didapati negatif.

“Polis turut merampas pakaian yang dipakai suspek ketika kejadian bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun cedera di bahagian hidung selepas ditampar seorang lelaki dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari di premis sama pada 24 Mac lalu.

Mangsa dilaporkan berada seorang diri ketika kejadian manakala ibu saudaranya menunggu di dalam kereta.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button