BERITA SEMASA

Isu aduan Khairul Aming: Fahmi bertemu wakil telco, MCMC siasat dakwaan kebocoran data

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil memaklumkan beliau telah bertemu dengan wakil syarikat telekomunikasi yang dikaitkan dengan aduan pempengaruh terkenal, Khairul Aming berhubung dakwaan kebocoran maklumat bil telefon.

Menurutnya, beliau juga telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapatkan laporan penuh mengenai insiden berkenaan.

“Ini merupakan satu perkara yang agak merisaukan kerana berdasarkan aduan yang saya baca di Threads daripada Saudara Khairul Aming, ia memberi bayangan terdapat individu yang tidak sepatutnya mempunyai akses kepada maklumat peribadi dan juga akses kepada inventori ataupun sistem yang dimiliki oleh sebuah syarikat telekomunikasi.

“Saya telah bertemu dengan wakil syarikat telekomunikasi tersebut dan mereka memaklumkan sedang menghubungi Saudara Khairul Aming.

“Pada masa sama, saya akan meminta MCMC mendapatkan laporan penuh mengenai perkara ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC 2026), di sini hari ini.

Fahmi turut menggesa mana-mana individu yang mengalami insiden sama supaya membuat laporan melalui portal aduan MCMC bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Menurut beliau, laporan tersebut penting bagi mewujudkan rekod rasmi selain membantu MCMC mengumpulkan maklumat dan bukti yang diperlukan untuk tindakan susulan.

“Tindakan boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja menyebarkan maklumat Personally Identifiable Information (PII) kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi,” katanya.

Beliau turut menggesa mangsa supaya membuat laporan polis selain mengemukakan aduan kepada MCMC bagi memudahkan proses siasatan dan tindakan penguatkuasaan.

Terdahulu, tular hantaran Khairul Aming di platform Threads yang melahirkan kebimbangan terhadap kebocoran data peribadinya oleh seorang individu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button