BERITA SEMASADALAM NEGERI

Khairul Aming kongsi ‘kepenatan’ tahun 2025, suntik semangat kepada orang ramai

KUALA LUMPUR – Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming mendedahkan keputusan untuk keluar daripada zon selesa sepanjang 2025 akhirnya membuahkan hasil luar biasa, meskipun terpaksa melalui proses yang mencabar dan memenatkan.

Menerusi satu kenyataan, beliau berkata keberanian menetapkan sasaran lebih besar tahun ini menyaksikan pelbagai pencapaian penting berjaya direkodkan, termasuk kandungan Ramadan dengan jumlah tontonan tertinggi sepanjang lapan tahun penglibatannya sebagai pencipta kandungan.

Menurut Khairul Aming, kandungan Ramadan yang dihasilkan tahun ini mencatatkan lebih setengah bilion tontonan, selain peningkatan jumlah pengikut sebanyak dua juta orang, menjadikan keseluruhan pengikutnya kini mencecah 15.3 juta.

Beliau turut mencipta rekod jualan terpantas apabila berjaya merekodkan jualan RM1 juta dalam tempoh hanya 19 saat, selain dianugerahkan Tokoh Maulidur Rasul sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan pengaruh positifnya.

“Antara pencapaian lain termasuk membawa percutian kakitangan terbesar dalam tempoh lima tahun serta membina sebuah restoran di tengah Kuala Lumpur dengan modal kira-kira RM4 juta,” katanya di platform X.

Mengulas lanjut, Khairul Aming mengakui perjalanan keluar daripada zon selesa bukan sesuatu yang mudah, namun menyifatkan keletihan dan ketidakselesaan itu sebagai sebahagian daripada proses menuju kejayaan.

Sehubungan itu, beliau berharap perkongsiannya dapat menjadi suntikan semangat kepada orang ramai yang bercadang mencabar diri dengan perkara baharu pada tahun 2026.

“Proses itu memang penat dan tidak selesa, tetapi hasilnya sangat berbaloi,” katanya sambil mengucapkan selamat tahun baharu serta memohon maaf atas sebarang kekurangan sepanjang tahun lalu, selain menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong perjalanannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button