SUKAN

FIFA siasat insiden pergaduhan pemain Argentina selepas tewas kepada Sepanyol

NEW JERSEY – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akan membuka siasatan terhadap beberapa pemain Argentina serta sekurang-kurangnya seorang anggota barisan kejurulatihan susulan insiden pergaduhan selepas kekalahan 0-1 kepada Sepanyol pada aksi final Piala Dunia.

Menurut beberapa laporan media, kekecohan tercetus sejurus tamat perlawanan apabila pemain dan barisan simpanan Sepanyol meluru ke padang bagi meraikan kejayaan pasukan itu menjadi juara.

Bagaimanapun, beberapa pemain Argentina yang kecewa bertindak menghampiri lawan sehingga mencetuskan pergelutan melibatkan aksi tolak-menolak, tumbukan dan terpaksa dileraikan oleh pegawai serta pemain kedua-dua pasukan.

Pemain tengah Argentina, Leandro Paredes menjadi tumpuan apabila didakwa menyerang pertahanan Sepanyol, Eric Garcia, dengan memegang lehernya sebelum menolaknya jatuh.

Paredes kemudian bergelut dengan pemain tengah Sepanyol, Gavi, sebelum menolaknya pada bahagian muka. Susulan insiden itu, beliau dilayangkan kad merah sejurus wisel penamat dibunyikan.

Dalam kejadian berasingan, pertahanan Argentina, Nahuel Molina, dilaporkan bertindak agresif terhadap kapten Sepanyol, Rodri, ketika pasukan lawan sedang meraikan kemenangan.

Laporan turut menyebut penolong jurulatih Argentina, Roberto Ayala, akan turut disiasat selepas didakwa memegang leher Eric Garcia selain kelihatan memukul pemain tengah Sepanyol, Dani Olmo.

Sementara itu, pertahanan Nicolas Otamendi turut dilaporkan bersemuka dengan Rodri berhubung kenyataan pemain Sepanyol itu mengenai mutu pengadilan sebelum perlawanan.

Insiden tersebut mengundang kecaman ramai pemerhati bola sepak.

Bekas penyerang England, Alan Shearer, menyifatkan tindakan Paredes tidak boleh diterima.

“Tiada tempat untuk tindakan seperti itu dalam bola sepak,” katanya kepada BBC.

Bekas penjaga gol England, Joe Hart, pula menyifatkan insiden berkenaan sebagai ‘memalukan’, namun memuji kapten Argentina, Lionel Messi, kerana masih menunjukkan sikap profesional.

Wayne Rooney turut mengkritik reaksi Argentina selepas kekalahan itu.

“Jika kalah dalam perlawanan bola sepak, terimalah dengan bermaruah. Apa yang berlaku amat mengecewakan dan bukan kali pertama kita melihat reaksi seperti ini daripada Argentina,” katanya.

Rooney turut mendakwa Messi cuba mempengaruhi keputusan pengadil terhadap Marc Cucurella selain dilihat mengalihkan kedudukan bola ketika sepakan percuma, namun tindakan itu segera dihentikan pengadil.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button