JENAYAH & MAHKAMAH

Zizie Izette dilepas, bebas daripada tiga pertuduhan subahat rasuah berkaitan pelaburan FELCRA

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad daripada tiga pertuduhan bersubahat memperoleh rasuah membabitkan kelulusan pelaburan RM150 juta oleh FELCRA Berhad dalam unit amanah Public Mutual.

Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap ketiga-tiga pertuduhan pada akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan suaminya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan, Madhi Abdul Hamid.

Suapan itu didakwa sebagai balasan bagi membantu mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II supaya FELCRA melaburkan RM150 juta dalam produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Public Bank Cawangan Taman Melawati antara pukul 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Zizie Izette didakwa bersubahat memperoleh suapan wang tunai masing-masing RM262,500 daripada Madhi Abdul Hamid dan RM337,500 daripada ejen pelaburan, Norhaili Ahmad.

Wang itu didakwa disalurkan melalui akaun pelaburan Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) dan Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette.

BACA JUGA:
Keputusan kes subahat rasuah RM2.8 juta Zizie Izette diketahui esok
Zizie Izette terkejut terima RM2.8 juta, dakwa wang ‘pengenalan’ diberi secara sukarela
Mahkamah Rayuan tolak permohonan Bung Moktar, Zizie Izette semak keputusan arah bela diri
Bung Moktar, Zizie Izette diperintah bela diri kes rasuah RM2.8 juta
Bung Moktar bebas kes rasuah RM2.8 juta

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bank yang sama pada 19 Jun 2015, masing-masing pada pukul 12.16 tengah hari dan 12.18 tengah hari.

Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes berkenaan melalui beberapa peringkat prosiding sebelum ini. Pada 2 September 2022, Mahkamah Sesyen memerintahkan Zizie Izette dan Bung Moktar membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan permohonan semakan yang difailkan pasangan itu, sekali gus mengetepikan perintah membela diri serta melepas dan membebaskan mereka daripada semua pertuduhan.

Pada 22 Mei 2025, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengarahkan kedua-dua tertuduh kembali membela diri di Mahkamah Sesyen.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan Mohd Fadhly Mohd Zamry, manakala Zizie Izette diwakili barisan peguam K. Kumaraendran, M Athimulan dan Ridha Abdah Subri.

Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Allahyarham Bung Moktar daripada tiga pertuduhan rasuah berkenaan selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan susulan kematian beliau pada 5 Disember 2025.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button