JENAYAH & MAHKAMAH

Keputusan kes subahat rasuah RM2.8 juta Zizie Izette diketahui esok

KUALA LUMPUR – Nasib pelakon Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berhubung kes subahat rasuah bernilai RM2.8 juta akan diputuskan esok di Mahkamah Sesyen, di sini.

Zizie berdepan tiga pertuduhan bersubahat dalam kes rasuah tersebut yang membabitkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.

Hakim Rosli Ahmad akan memutuskan sama ada balu Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin itu dilepas dan dibebaskan atau disabitkan atas ketiga-tiga pertuduhan selepas selesai mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan di akhir kes pembelaan.

Sebelum ini, mahkamah turut mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan tambahan sebelum atau pada 9 Julai lalu bagi melengkapkan prosiding sebelum keputusan dibuat, memetik laporan Kosmo! Online.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How bersama Mohd Fadhly Mohd Zamry, manakala Zizie diwakili barisan peguam K Kumaraendran, M Athimulan dan Ridha Abdah Subri.

Mengikut pertuduhan pertama, Zizie didakwa bersubahat dengan Allahyarham Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad, memperoleh wang suapan tunai sebanyak RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid.

Suapan itu didakwa sebagai balasan untuk mendapatkan kelulusan Menteri Kewangan II bagi membolehkan FELCRA Berhad melabur RM150 juta dalam produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa bersubahat memperoleh suapan berjumlah RM262,500 daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan yang sama.

Zizie turut berdepan pertuduhan ketiga kerana didakwa bersubahat memperoleh wang suapan RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar menerusi akaun Public Ittikal Sequel Fund yang juga didaftarkan atas namanya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, pada 12 dan 19 Jun 2015 mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika disabitkan kesalahan, pelakon berusia 48 tahun itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Allahyarham Bung Moktar daripada tiga pertuduhan rasuah berkenaan selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan susulan kematian beliau pada 5 Disember 2025.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button