POLITIK

Keputusan Aminuddin bertanding DUN Linggi bukti keberanian, komitmen pemimpin utamakan amanah parti

SEREMBAN – Keputusan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Datuk Seri Aminuddin Harun bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, merupakan bukti keberanian dan komitmen seorang pemimpin yang mengutamakan amanah parti serta kepentingan rakyat.

Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, keberanian Aminuddin meninggalkan kerusi yang dianggap selamat itu bukan sekadar strategi pilihan raya, sebaliknya mencerminkan budaya perjuangan parti yang meletakkan tanggungjawab mengatasi kepentingan peribadi, lapor portal Suara KEADILAN.

“Pemimpin PKR tidak memilih jalan mudah. Apabila parti memerlukan, mereka akan menyahut cabaran walaupun terpaksa meninggalkan kerusi yang dianggap selamat.

“Semangat inilah yang menjadi kekuatan parti sejak dahulu. Sebab itu PKR terus teguh walaupun berdepan pelbagai cabaran dan serangan politik,” katanya.

Beliau menambah, tindakan Aminuddin itu mengimbau kembali kepada keputusan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang akur dengan arahan parti untuk bertanding di Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun berdepan saingan sengit menentang penyandang ketika itu.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata, kehadiran penyokong yang memenuhi pusat penamaan calon, semalam membuktikan sokongan rakyat terhadap kepimpinan Aminuddin terus kukuh.

Menurutnya, kehadiran itu bukan sekadar simbol sokongan kepada calon, malah membawa mesej jelas bahawa rakyat mahu kesinambungan pentadbiran yang stabil, bersih dan berintegriti diteruskan di Negeri Sembilan.

“Rakyat hadir dengan satu harapan, iaitu mahu melihat kerajaan yang bekerja untuk mereka terus diberi mandat.

“Sokongan terhadap kepimpinan Tok Min bukan sahaja tidak goyah, malah semakin membara kerana rakyat mahukan kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan pentadbiran yang berintegriti diteruskan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button