Menteri Agama tersentuh hati, pasangan warga emas tunggu lama untuk bergambar
KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan mengakui tersentuh hati apabila mengetahui sepasang suami isteri warga emas sanggup menunggu lama semata-mata untuk bergambar dengannya selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Huda, Taman Intan Baiduri, Kepong semalam.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, perkara itu hanya diketahui pada penghujung program.
“Terharu sangat saya apabila mendapat tahu ada sepasang Haji dan Hajah yang sanggup menunggu lama semata-mata untuk bergambar bersama-sama saya.
“Saya tidak mengetahuinya sehinggalah pada akhir program,” katanya hari ini.
Tambah beliau, situasi itu juga mengingatkannya kepada kedua ibu dan ayah yang telah meninggal dunia.
“Momen spontan ini terus menyentuh jiwa saya mengenangkan Almarhum Ayahanda dan Bonda saya yang telah lama kembali ke rahmatullah.
“Melihat wajah suci mereka, saya mendoakan agar kedua-dua tetamu Allah ini dikurniakan kesihatan yang afiah,
dimurahkan rezeki dan diberkati segala amal bakti,” tulisnya.
Menurutnya, peristiwa itu menjadi peringatan tentang pentingnya menyemai kasih sayang sesama insan sebagaimana dianjurkan dalam Islam.
Beliau turut mengingatkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang-orang yang menyayangi orang lain akan disayangi oleh Allah Yang Maha Penyayang. Sayangilah apa yang ada di bumi, nescaya kalian disayangi oleh yang berada di langit.” (Riwayat at-Tirmizi).
Dalam pada itu, Zulkifli turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan Surau Al-Huda atas usaha menyediakan kemudahan yang selesa bagi memudahkan urusan ibadah dan penganjuran aktiviti komuniti setempat.
“Ayuh anak muda, santuni ibu bapa kita selagi mereka masih ada dan teruskan menyebar kasih sayang sesama ummah,” katanya.
Beliau turut menyeru golongan muda supaya menghargai dan menyantuni ibu bapa selagi mereka masih ada di sisi serta terus menyebarkan nilai kasih sayang dalam masyarakat.
“Marilah kita menghargai ibu bapa selagi mereka masih bersama kita dan terus menyemai kasih sayang sesama ummah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















