Op SAR bapa tunggal hilang ditamatkan, tiada petunjuk baharu ditemui
GEORGE TOWN – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang bapa tunggal yang dilaporkan hilang di kawasan dusun durian di Lebuh Bukit Jambul, di sini ditamatkan selepas pihak berkuasa gagal menemui sebarang petunjuk baharu mengenai keberadaan mangsa.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, operasi pencarian melibatkan kawasan seluas radius dua kilometer di lokasi berbukit yang dipenuhi kebun durian serta laluan penyelenggaraan.
Menurutnya, pasukan SAR turut menjalankan pemeriksaan di beberapa lokasi selain menemubual individu di sekitar kawasan bagi membantu siasatan.
“Sehingga operasi ditamatkan pada pukul 12 tengah hari tadi, mangsa masih belum ditemui dan tiada sebarang petunjuk baharu diperoleh,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, operasi SAR yang dikendalikan pihak bomba turut dihentikan pada pukul 5.30 petang.
BACA JUGA:
Ibu rayu anak pulang, hilang lebih sebulan selepas keluar cari durian
Beliau berkata, pencarian yang berlangsung sehingga pukul 3 petang meliputi keseluruhan kawasan disyaki termasuk menggunakan dron bagi meninjau lokasi dari udara.
“Tiada sebarang tanda menunjukkan mangsa berada di kawasan berkenaan,” katanya.
Shahir Zainul, 46, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Bukit Gedung kira-kira pukul 5 pagi pada 10 Jun lalu.
Kehilangannya disedari ibunya, Salmah Shamsudin, 72, selepas anak bongsu daripada dua beradik itu tidak pulang ke rumah.
Sebelum ini, dilaporkan mangsa dipercayai keluar dari rumah susulan perselisihan faham dengan ibunya yang dikatakan berkaitan isu kewangan.
Operasi pencarian kemudian digerakkan di kawasan dusun durian di Bukit Jambul selepas motosikal mangsa ditemukan di lokasi berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















