POLITIK

Dr Abu Hafiz persoal konsistensi PAS dalam isu Islamofobia

KUALA LUMPUR – Pensyarah dan penganalisis politik, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin mempersoalkan konsistensi Presiden Pas dalam melabelkan pihak tertentu sebagai penyebar propaganda Islamofobia, khususnya ketika suasana politik menjelang pilihan raya negeri semakin memuncak.

Menurut beliau, kritikan itu merujuk kepada artikel Minda Presiden PAS bertarikh 16 Julai 2026 bertajuk “Pakatan Harapan Menyebarkan Propaganda Islamofobia” yang menyasarkan Pakatan Harapan (PH) dan DAP.

Dr Abu Hafiz berkata, antara isu yang sering dikaitkan dengan dakwaan Islamofobia ialah bantahan terhadap pelaksanaan hudud, tulisan Jawi serta tuntutan mengembalikan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan mengapa label sama tidak dikenakan terhadap parti-parti lain yang pernah menyatakan pendirian serupa terhadap isu berkenaan.

“Jika ukuran Islamofobia digunakan berdasarkan penolakan terhadap hudud, tulisan Jawi dan sokongan kepada pilihan raya PBT, mengapa parti seperti MCA, MIC dan Gerakan tidak dilabelkan dengan cara yang sama?

“Bukankah mereka juga pernah mengeluarkan kenyataan rasmi yang menolak atau mempertikaikan perkara-perkara tersebut?” katanya dalam satu hantaran video di TikTok semalam.

Menurut beliau, Presiden MCA ketika itu, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada 2016 dilaporkan membantah sebarang usaha melaksanakan hudud, manakala MIC turut menyatakan bantahan terhadap cadangan tersebut.

“Parti Gerakan pula pernah menyuarakan hasrat mencabar isu berkaitan hudud di Mahkamah Persekutuan,” katanya lagi.

Dalam isu tulisan Jawi, Dr Abu Hafiz berkata, MCA dan Gerakan juga pernah menyatakan bantahan terhadap pelaksanaannya di sekolah serta mencadangkan supaya ia diajar secara sukarela.

Beliau turut membangkitkan kenyataan MCA yang menyokong cadangan mengembalikan pilihan raya PBT pada tahun 2023.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada pendekatan yang digunakan PAS dalam mendefinisikan Islamofobia benar-benar berasaskan prinsip yang konsisten atau dipengaruhi pertimbangan politik semasa.

“Dalam Islam, kita diajar berlaku adil walaupun terhadap pihak yang kita tidak suka. Prinsip keadilan tidak boleh berubah mengikut siapa kawan dan siapa lawan politik kita.

“Jika sesuatu tindakan dianggap salah apabila dilakukan oleh satu pihak, maka ia juga perlu dianggap salah apabila dilakukan pihak lain,” katanya lagi.

Beliau turut menggesa agar perbahasan mengenai isu Islamofobia dibuat secara berasaskan fakta dan prinsip, bukannya dipengaruhi sentimen politik kepartian.

Menurutnya, masyarakat berhak mendapat penjelasan yang jelas dan konsisten supaya istilah Islamofobia tidak digunakan secara selektif sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button