POLITIK

Mahasiswa AMANAH USIM gesa PH kaji semula kerjasama dengan BN

NILAI – Mahasiswa AMANAH Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menggesa Pakatan Harapan (PH) menilai semula kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) susulan perkembangan rundingan kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan BN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengerusinya, Muhammad Yusuf Qardawi Ajis berkata, pengumuman yang dibuat Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung kerjasama dengan ‘rakan’ lain menimbulkan persoalan terhadap komitmen BN dalam Kerajaan Perpaduan, selain boleh menghakis keyakinan penyokong kerajaan.

Menurut beliau, tindakan itu turut dilihat tidak menghargai semangat setiakawan yang selama ini ditunjukkan PH dalam memastikan kestabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan.

“Langkah tegas ini perlu diambil segera bagi mengelakkan kewujudan musuh dalam selimut yang boleh merosakkan agenda reformasi dan kestabilan negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Muhammad Yusuf berkata, berdasarkan perkembangan politik semasa, terdapat beberapa tindakan BN yang didakwa menggugat keharmonian hubungan dengan PH, termasuk insiden melibatkan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN di Negeri Sembilan yang didakwa pernah membelakangi kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sehingga mencetuskan ketidakstabilan politik di negeri itu.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang menggesa pentadbiran lebih stabil di negeri berkenaan, sedangkan kerajaan PH-BN ketika ini mempunyai majoriti besar 31 kerusi berbanding lima kerusi pembangkang.

Selain itu, beliau mendakwa terdapat cubaan BN Negeri Sembilan mengadakan persefahaman politik dengan PN bagi membentuk kerajaan negeri baharu, yang menurutnya merupakan tindakan membelakangi PH.

Muhammad Yusuf turut membangkitkan tindakan BN Johor yang memilih mentadbir negeri itu secara bersendirian selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus disifatkan tidak mencerminkan semangat perkongsian kuasa.

Sebaliknya, katanya, PH telah menunjukkan komitmen mempertahankan kerjasama dengan BN di negeri-negeri seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Pahang demi menjamin kestabilan politik.

“Sehubungan itu, Mahasiswa AMANAH USIM mendesak Majlis Pimpinan Pakatan Harapan mengkaji semula segala bentuk kerjasama politik dengan Barisan Nasional sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, semakan semula terhadap kerjasama itu wajar dilakukan bagi memastikan agenda reformasi dan kestabilan negara tidak terjejas akibat tindakan mana-mana pihak yang didakwa tidak sehaluan dengan semangat Kerajaan Perpaduan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button