POLITIK

AMANAH berfikiran jauh, berpihak rakyat marhaen

CYBERJAYA – Pemuda AMANAH Kepala Batas meyokong penuh usul yang diluluskan dalam Konvensyen Nasional Parti AMANAH Negara 2025, baru-baru ini.

Menurut ketuanya, Abrar Sadiq, langkah berkenaan membuktikan AMANAH merupakan parti yang berfikir jauh, matang dan benar-benar berpihak kepada rakyat marhaen.

“AMANAH bukan sekadar melaungkan slogan rahmah, tetapi benar-benar menghidupkan nilai tersebut melalui dasar yang berasaskan ilmu, keberanian dan keinsafan terhadap nasib rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Abrar, usul berkaitan penstrukturan semula kelayakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berasaskan kos sara hidup setempat dibuat memandangkan penilaian STR secara pukal yang dipraktikkan tidak lagi mencerminkan keperluan sebenar rakyat, terutama mereka yang tinggal di kawasan bandar utama seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.

“(Sehubungan itu) Cadangan membangunkan model zonifikasi STR yang mengambil kira pendapatan median, indeks harga pengguna (CPI) dan kos keperluan asas tempatan merupakan langkah adil dan realistik dalam memahami tekanan ekonomi rakyat hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, dua lagi usul penting yang turut diluluskan mencerminkan keberanian dan idealisme parti.

“Sistem pilihan raya ‘First Past The Post’ (FPTP) yang semakin tidak seimbang perlu dikaji dan dinilai semula, termasuk (keperluan) pelaksanaan sistem ‘Proportional Representation’ (PR) yang lebih adil serta mencerminkan undi sebenar rakyat di seluruh negara.

“Sistem PR menjamin setiap undi dikira dan diwakili, sekali gus menggalakkan politik nilai serta kerjasama antara parti,” katanya.

Usul seterusnya adalah mengenai gesaan terhadap kerajaan bagi menggubal undang-undang berkaitan kecerdasan buatan dan integriti digital.

“Langkah itu adalah bagi melindungi hak cipta, hak personaliti dan kandungan peribadi rakyat daripada penyalahgunaan teknologi seperti deepfake, manipulasi imej dan jenayah siber.

“Ini adalah langkah penting ke arah memastikan kemajuan teknologi berkembang seiring dengan etika dan tanggungjawab sosial,” katanya lagi.

Walaupun terdapat kekecohan yang timbul ketika konvensyen tempoh hari, Abrar berkata AMANAH kekal menunjukkan kematangan politik yang tinggi.

“Parti ini terus hidup dalam arus perdana realiti politik semasa, iaitu peduli, berani dan berprinsip dalam memperjuangkan dasar yang menyentuh kepentingan rakyat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button