
Hidang telur tembelang: Asyraf Wajdi arahkan tindakan tegas diambil terhadap penyedia makanan
KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Raya (MARA) tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas susulan sekumpulan pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Klawang mengalami keracunan makanan selepas dihidangkan dengan telur busuk.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jika didapati kecuaian ini berlaku, tindakan tegas termasuk menamatkan kontrak sebagaimana perjanjian dan peraturan yang ditentukan akan dilakukan.
“Saya terima banyak mesej dan aduan melalui whatsapp dan juga mereka yang tag saya berkenaan isu ini. Walaupun saya berada di luar negara, saya sudah mengarahkan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA untuk segera siasat, ambil tindakan tegas dan pastikan kes seperti ini tidak berulang.
“Prinsip saya dalam hal ehwal kebajikan pelajar, tiada kompromi terhadap mana-mana kontraktor dewan selera yang ambil mudah dan enteng dalam isu penyediaan makanan pelajar,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya.
Dalam pada itu, Asyraf berkata, laporan penuh daripada pengurusan MARA juga diarahkan disediakan selewat-lewatnya esok.
Sementara itu beliau juga mengingatkan kontraktor supaya tidak hanya mengejar untung atas kesusahan orang lain.
“Keuntungan atas kecurangan pastinya tiada keberkatan,” katanya.
Petang tadi tular beberapa gambar di media sosial yang menunjukkan hidangan telur tembelang disediakan untuk pelajar berkenaan.
Akibat sikap tidak bertanggungjawab itu, beberapa pelajar telah dikejarkan ke hospital selepas mengalami sakit perut dan cirit birit.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








