BERITA SEMASA

Syed Saddiq mulakan Larian Kesyukuran Putrajaya-Muar, sasar kutip RM200,000 bantu rakyat

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memulakan Larian Kesyukuran sejauh kira-kira 170 kilometer (km) dari Putrajaya ke Muar hari ini sebagai tanda kesyukuran selepas dibebaskan Mahkamah Persekutuan, selain mengumpul dana kebajikan berjumlah RM200,000.

Beliau berkata, kutipan menerusi larian itu akan disalurkan bagi membantu penduduk di kawasan Parlimen Muar termasuk menyediakan iPad kepada mahasiswa yang memerlukan serta bakul makanan kepada golongan kurang berkemampuan.

bella astillah
Bella Astilah

“Sasaran kita ialah RM200,000 dan semua kutipan akan disalurkan semula kepada warga Muar. Alhamdulillah, walaupun larian belum bermula, sudah ramai yang tampil memberikan sumbangan,” katanya kepada media sebelum memulakan larian di Istana Kehakiman, di sini hari ini.

Syed Saddiq berkata, pemilihan Istana Kehakiman sebagai lokasi permulaan larian itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada institusi kehakiman negara yang disifatkan sebagai benteng terakhir rakyat dalam mendapatkan keadilan.

“Ini tempat saya mendapatkan semula maruah dan integriti selepas enam tahun melalui perjuangan yang panjang. Ia adalah tanda kesyukuran kepada Allah SWT serta penghargaan kepada institusi kehakiman,” katanya.

Beliau berkata, Larian Kesyukuran itu juga merupakan penghargaan kepada rakyat Muar yang terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepadanya walaupun berdepan tempoh sukar sebelum ini.

“Seminggu sebelum PRU pada 2022, saya masih berulang-alik ke mahkamah. Dalam keadaan seperti itu biasanya calon akan tewas, tetapi rakyat Muar tetap memberi peluang kedua kepada saya,” katanya lagi.

Menurutnya, perjalanan itu dijangka mengambil masa empat hari sebelum tiba di Muar pada Ahad, dengan beberapa kumpulan pelari dan penyokong termasuk tunangnya, Bella Astillah turut menyertai larian secara bergilir.

“Saya akan berlari dari awal hingga tamat. Penyokong mungkin ikut dengan basikal atau motosikal, tetapi saya sendiri akan teruskan larian ini,” katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan segala perkembangan larian akan dikongsikan secara langsung menerusi media sosial, selain memastikan keselamatan perjalanan dipantau dengan kerjasama pihak berkuasa.

Syed Saddiq berkata, semua kutipan dana akan disalurkan sepenuhnya kepada penerima selepas tiba di Muar bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti pengurusan sumbangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button