POLITIK

BN Negeri Sembilan masuk ‘mod perang’ hadapi PRN – Tok Mat

SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mengarahkan seluruh jenteranya mengetepikan segala perbezaan dan konflik dalaman selepas secara rasmi memasuki ‘mod perang’ bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pelancaran jentera pilihan raya menjadi titik permulaan gerak kerja menyeluruh ke arah mengembalikan pentadbiran negeri itu kepada BN selepas pengundian pada 1 Ogos.

“Apabila Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) membunyikan loceng perang, kita dalam mod perang. Nak perang, buat cara nak perang. Jangan nak pergi berkelah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN bagi PRN Negeri Sembilan ke-16 di sini malam tadi.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, sepanjang tempoh berkempen, semua jentera perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memenangkan BN tanpa dibelenggu isu dalaman.

“Saya minta semasa kita berperang, hadapilah perang yang besar. Isu kecil-kecil ini tutup. Jangan ada berkecil hati, jangan ada masalah-masalah dalaman, ini supaya tumpuan sepenuhnya untuk menghadapi perang,” katanya.

Beliau berkata, Negeri Sembilan perlu kembali bangkit dan bergerak seiring dengan negeri-negeri lain yang sedang pesat membangun.

Sehubungan itu, katanya, kempen BN perlu memberi fokus kepada tawaran serta rekod pentadbiran, bukannya menyerang peribadi pihak lawan.

“Jangan kita cakap pasal peribadi. Jangan cakap pasal apa-apa. Cakap kepada orang kita nak kembalikan semula kegemilangan Negeri Sembilan yang pernah kita lakukan pada suatu ketika dahulu,” katanya.

Mohamad turut mengimbau kejayaannya ketika menerajui Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan yang berjaya membawa pulang Piala Malaysia selepas penantian puluhan tahun.

Menurutnya, semangat sama perlu diterapkan dalam kalangan jentera BN bagi mengembalikan kegemilangan Negeri Sembilan menerusi PRN kali ini.

Beliau menegaskan kemenangan hanya dapat dicapai sekiranya seluruh jentera bekerja bersungguh-sungguh sepanjang tempoh berkempen.

“Tujuan utama kita menghadapi peperangan ialah untuk menang. Nak perang, buat cara nak menang.

“Jangan buat lembik-lembik. Jangan sambil lewa kerana peperangan ini antara hidup dan mati. Kita menang, kita tubuh kerajaan. Kalau kita kalah, kita kena lanyak pula,” katanya.

Pada masa sama, Mohamad mengajak seluruh penyokong dan jentera BN menghidupkan slogan ‘Hobin Jang Hobin’ sebagai pembakar semangat untuk merampas semula pentadbiran Negeri Sembilan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button